Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan menyoal mantan peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan memandangkan beberapa kertas siasatan telah pun dibuka, kata ketua pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki.

“Kita sebenarnya telah membuka beberapa fail tetapi tidak menyoalnya. Kita berharap untuk berbuat demikian memandangkan dia sudah kembali ke Malaysia,” beliau dilaporkan berkata.

Azam menambah bahawa penahanan Loo telah dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Polis Negara.

“Kita akan benarkan polis menyoalnya dahulu. Sebaik selesai, kita akan panggilnya untuk merekodkan keterangan,” kata Azam.

Loo dipercayai terlibat dalam beberapa kes membabitkan pendokumentasian dan pengaliran dana 1MDB.

Loo juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buangan, Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan penahanan Loo di IPD Dang Wangi pada 12 Julai.

Para peguam Loo memberikan jaminan bahawa Loo mahu membantu pihak berkuasa mendapatkan semula aset 1MDB.