Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah gering akibat dijangkiti virus Influenza A.

Istana Alam Shah dalam kenyataan memaklumkan, gejala berkenaan disahkan oleh doktor-doktor peribadi yang merawat baginda, Datuk Dr Anuar Onah dan Datuk Dr Tan Hui Meng.

“Gejala jangkitan mula dikesan pada pagi Jumaat, 30 Oktober (semalam) apabila baginda mengalami demam panas yang tinggi serta lemah anggota badan.

“Berdasarkan penilaian mereka (doktor), baginda berkemungkinan mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai, termasuk di kawasan terbuka,” menurut Istana Alam Shah melalui muat naik di Facebook Selangor Royal Office.

Menurut Istan Alam Shah, keadaan kesihatan baginda kini beransur pulih, namun baginda masih mengalami demam.

Sehubungan itu, katanya doktor yang merawat menasihati baginda berehat dan tidak menghadiri sebarang majlis bagi tempoh lima hingga tujuh hari bagi membolehkan baginda pulih sepenuhnya.

“Susulan perkembangan terbaharu ini, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan ke hari Sabtu, 7 November depan.

“Semua pihak yang terbabit dimohon mengambil maklum mengenai perubahan tarikh berkenaan. Kerjasama dan perhatian semua pihak amat dihargai.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan supaya Allah SWT mengurniakan kesembuhan segera kepada Sultan Selangor serta melimpahkan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada baginda,” menurut kenyataan itu. -BH Online