ALOR GAJAH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) diperluas kepada parti politik lain.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, kerjasama yang dimeterai beberapa parti di peringkat pusat merupakan perkembangan positif dan wajar diperkukuh tanpa mengira sama ada parti terbabit berada dalam kerajaan atau pembangkang.
“Sebaik mungkin, CSA ini boleh dilanjutkan kepada parti-parti lain, tidak kira sama ada di pihak kerajaan atau sebaliknya.
“Mungkin ini menjadi hak mereka untuk menyantuni dan menangani permasalahan rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas proses Penamaan Calon di Dewan Datuk Kapt (B) Hj Ab Karim, di sini pada Sabtu.
Ahmad Zahid menambah, pendekatan seumpama itu bukan perkara baharu dalam landskap politik negara, malah pernah dilaksanakan ketika wakil UMNO menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
Beliau juga menyifatkan langkah berkenaan sebagai satu perkembangan baik dalam usaha membolehkan parti politik bekerjasama menangani isu dan permasalahan rakyat.
Pada 29 Oktober lalu, beberapa Ahli Parlimen, termasuk enam ahli Dewan Rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memeterai CSA bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen.
Menerusi CSA, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada wakil rakyat BERSATU terbabit dalam perjanjian itu, pada kadar sama seperti diterima Ahli Parlimen kerajaan.
Enam Ahli Parlimen Bersatu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).-Astro Awani
