SHAH ALAM: Masih awal untuk membincangkan penggunaan dron sebagai kaedah penghantaran barangan dalam industri kurier.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak menetapkan tempoh khusus atau mewajibkan syarikat kurier menggunakan teknologi tertentu bagi meningkatkan kecekapan operasi penghantaran.
“Dia masih awal (penggunaan dron untuk kurier). Kita lihat sekarang ini, kita tidak menetapkan satu jangka masa yang khusus dan kita tidak mengarahkan syarikat kurier untuk melaksanakan apa-apa teknologi. Jadi kita tidak melakukan kawal selia dari situ.
“Misalnya isu dron ini, penggunaan perkhidmatan dron juga tertakluk bawah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), itu sebagai contoh,” katanya selepas merasmikan Hari Kurier Negara 2026, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, kerajaan turut bersedia membantu mempercepat urusan berkaitan bagi membolehkan syarikat kurier beralih kepada penggunaan teknologi baharu, termasuk kenderaan elektrik (EV) dan dron.
Mengambil contoh Pos Malaysia, Fahmi berkata, peralihan kepada penggunaan kenderaan tiga roda memerlukan penyelarasan dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Jadi kita bantu untuk mempercepat proses. Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan bantu,” katanya.
Dalam usaha kerajaan menangani ancaman penipuan berkaitan bungkusan, Fahmi turut mengumumkan sebuah inisiatif anti-penipuan, ‘Parcel Shield’ diterajui Postal Forum yang dilancarkan hari ini.
Jelasnya, inisiatif ini diperkenalkan susulan peningkatan risiko penipuan yang mengeksploitasi kepercayaan pengguna terhadap perkhidmatan penghantaran di negara ini. -Astro Awani
