SUNGAI PETANI: Malaysia menyasarkan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 sebagai antara yang terbaik dalam sejarah dengan peruntukan RM240 juta disediakan bagi persiapan temasya itu.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, peruntukan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2027 baru-baru ini memberi impak besar dalam memperkukuh persiapan negara sebagai tuan rumah temasya berkenaan.
Katanya, persiapan sudah digerakkan sejak tahun ini bagi memastikan semua aspek penganjuran dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Kita nak laksanakan antara penganjuran yang terbaik dalam sejarah dan saya anggarkan, insha-Allah, semua persiapan berjalan dengan baik dan lancar.
“Seperti yang kita tahu, empat lokasi (penganjuran) adalah di Sarawak, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) dan Hari Sukan Negara di Taman Komuniti Lebuh Arked, di sini, hari ini.
Taufiq berkata, penganjuran bertemakan ‘Celebrating Unity’ itu bukan sahaja bertujuan menyatukan rakyat Malaysia malah menjadi platform mengukuhkan perpaduan dalam kalangan negara ASEAN.
Katanya, temasya berkenaan juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan khususnya peniaga kecil serta sektor pelancongan.
“Belanjawan 2027 turut memberi penekanan kepada pembangunan sukan menerusi peruntukan RM460 juta termasuk bagi program atlet para dan geran padanan sukan RM30 juta.
“Geran berkenaan dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 600 persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memperluas aktiviti sukan di negara ini,” jelas beliau.
Sementara itu, beliau berkata KIBAR adalah inisiatif baharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi 2026 yang membabitkan 17 siri di 17 lokasi seluruh negara.
Katanya, program itu antara usaha kementerian untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif menerusi pelbagai aktiviti sukan serta fizikal.
“Selain sukan fizikal, kita turut memperkenalkan sukan berasaskan kecerdasan buatan (AI) seperti virtual taekwondo yang mempunyai potensi besar untuk kita ungguli,” katanya. -BH Online

