GEORGE TOWN: Kerajaan mahu kandungan tempatan diberi pertimbangan yang lebih besar dalam perolehan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC) bagi mewujudkan lebih banyak peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata pendekatan itu bertujuan memastikan perniagaan tempatan turut mendapat manfaat daripada pelaburan dan pembangunan rantaian bekalan domestik.
“Kita juga mahu perolehan kerajaan, GLC dan sudah tentu MNC mengambil kira aspek kandungan tempatan. Kita mahu pelaburan langsung asing (FDI) yang dibawa masuk turut memberi manfaat kepada perniagaan tempatan. Oleh itu, perlu ada syarat yang menetapkan penggunaan kandungan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan panel bersama Ketua Praktis Cukai Kebangsaan Grant Thornton Malaysia Datin Seah Siew Yun pada Seminar Cukai Belanjawan 2027 anjuran Grant Thornton di sini pada Jumaat.
Sim memberitahu keperluan kandungan tempatan merupakan satu daripada komponen di bawah Pelan Tindakan SCALE yang akan menjadi fasa seterusnya bagi pembaharuan struktur jangka panjang kementerian untuk sektor PMKS.
Beliau menyatakan SCALE merangkumi pentakrifan semula PKS, perlindungan aliran tunai, penggunaan kecerdasan buatan (AI), keperluan kandungan tempatan dan pemudahan akses kepada pembiayaan dengan kementerian meneliti pelaksanaan pembaharuan menerusi perundangan, peraturan atau dasar.
Mengenai FDI, Sim menjelaskan kerajaan turut menyemak semula sistem insentif pelaburannya di bawah rangka kerja insentif baharu dengan insentif cukai dikaitkan dengan petunjuk prestasi utama (KPI).
Antara kriteria yang ditetapkan termasuk pewujudan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia dan pembangunan rantaian bekalan tempatan dengan pendekatan itu bertujuan memastikan pelaburan asing menjana limpahan manfaat kepada PMKS dan bukannya hanya menguntungkan syarikat besar.
Sementara itu, Sim berkata GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting dalam membangunkan industri tempatan serta membantu perniagaan berskala kecil berkembang selain mengelakkan mereka daripada tersisih daripada pasaran akibat persaingan.
Menurut beliau, kerajaan telah mengarahkan GLC dan GLIC melabur sehingga RM25 bilion setiap tahun bagi membangunkan rantaian bekalan tempatan.
Katanya, sebahagian daripada dana itu perlu dilaburkan dalam negara untuk membangunkan industri tempatan.
Sim memberitahu usaha memperkukuh PMKS amat penting memandangkan sektor itu merangkumi kira-kira 96 peratus daripada keseluruhan pertubuhan perniagaan di Malaysia, walaupun sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih di bawah 40 peratus.
Beliau berkata kerajaan menyasarkan PMKS menyumbang sekurang-kurangnya 40 peratus kepada KDNK, sambil menyatakan bahawa meskipun PKS turut membentuk sebahagian besar pertubuhan perniagaan di kebanyakan ekonomi membangun, sumbangan sektor itu kepada ekonomi adalah lebih tinggi.– BERNAMA
