KOTA BHARU: Malaysia dan Thailand dijangka memuktamadkan rundingan berhubung projek pelebaran muara Sungai Golok dalam tempoh sebulan bagi mengurangkan risiko banjir di Kelantan dan wilayah selatan Thailand.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengadakan dua rundingan bersama kerajaan Thailand termasuk dengan rakan sejawatannya Anutin Charnvirakul bagi mempercepat pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata usaha pelebaran dan pendalaman muara sungai itu merupakan antara langkah penting dalam mengurangkan kesan banjir yang turut menjejaskan kawasan di kedua-dua negara.
“Saya harap dalam tempoh sebulan ini saya akan runding semula untuk memuktamadkan. Sudah ada kemajuan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Perdana Menteri berkata kerjasama erat antara Malaysia dan Thailand penting bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan secara berkesan, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di Kelantan dan selatan Thailand.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hubungan baik dengan negara jiran bukan sahaja penting dalam aspek perdagangan, malah dalam menangani isu rentas sempadan yang memerlukan penyelesaian bersama.
Mengenai isu banjir di Kelantan, Perdana Menteri memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan terus membantu negeri itu melaksanakan projek tebatan banjir, meskipun melibatkan kos yang tinggi.
Anwar berkata perkara berkenaan telah dibincangkan bersama Menteri Besar Kelantan bagi mencari penyelesaian secara bersepadu menerusi kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, sekali gus mengurangkan kesan banjir terhadap rakyat serta pembangunan negeri.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan turut merancang memberikan wajah baharu kepada kawasan sekitar Jambatan Rantau Panjang menerusi projek pembangunan yang akan dilaksanakan bersama kerajaan negeri.
Perdana Menteri berkata kejayaan inisiatif tersebut menuntut komitmen jitu kedua-dua pihak, khususnya dalam mempercepat urusan pengambilan tanah.
Sehubungan dengan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal yang membantu menyegerakan urusan berkaitan bagi membolehkan projek pembangunan berkenaan dilaksanakan.
“Kita gunakan juga kesempatan itu untuk membangunkan kawasan sekitar Jambatan Rantau Panjang. Terima kasih kepada SUK kerana menyegerakan pengambilan tanah dan sebagainya supaya dapat kita bangunkan projek itu dengan harapan ada wajah baharu di Rantau Panjang dan kemajuan,” katanya.
Anwar berkata pembangunan berkenaan merupakan antara usaha kerajaan untuk memacu sosioekonomi kawasan sempadan selain menangani isu berkaitan muara Sungai Golok.– BERNAMA
