Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan akan membentuk satu jawatankuasa khas bagi menilai kaedah penawaran penempatan pelajar ke matrikulasi dan program pra-universiti kepada pelajar cemerlang, kata Perdana Menteri.

Sewaktu berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Pulau Pinang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bertujuan untuk memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira bangsa dan agama akan mendapat tempat sewajarnya.

“Saya maklumkan hadirin bahawa satu jawatankuasa khas akan dibentuk menilai kaedah penawaran penempatan pelajar ke matrikulasi dan program pra-universiti kepada pelajar cemerlang.

“Saya sudah meminta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk melihat tantangan berkaitan penubuhan jawatankuasa tersebut yang akan melihat kepada ruang lebih banyak diberikan kepada pelajar bukan Bumiputera, termasuk anak masyarakat India yang cemerlang,” kata beliau.

Anwar menegaskan, kerajaan tidak mahu anak cemerlang dinafikan hak dalam sistem pendidikan negara.

“Pelaksanaan program ini akan dilakukan tanpa mengenepikan sistem kuota yang dikekalkan kepada pelajar Melayu dan Bumiputera,” kata beliau.