Sorting by

×

Komitmen kerajaan negeri Pulau Pinang dalam membantu pengajian agama untuk umat Islam di negeri itu terserlah apabila bantuan demi bantuan diberikan kepada institusi pendidikan Islam.

Semalam, dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan negeri menyumbangkan lebih RM2.5 juta untuk pendidikan Islam di negeri itu.

Kerajaan negeri menyumbang RM500,000 untuk Kafa Menengah Pulau Pinang, manakala RM1.2 juta lagi disumbangkan oleh Zakat Pulau Pinang untuk badan itu.

Turut menerima bantuan adalah Tadika Islam (Tadis) Pulau Pinang yang menerima RM63,830 manakala Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) mendapat RM541,700 dari kerajaan negeri.

Kesemua bantuan itu diberikan atas nama Bantuan Sekolah Agama Rakyat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Semua mok cek disampaikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow kepada wakil penerima dengan disaksikan oleh PM Anwar.

Kesemua bantuan itu diberikan dalam Seminar Malaysia Madani peringkat Negeri Pulau Pinang di Bertam, Kepala Batas.

Ia turut sama dihadiri para agamawan, guru sekolah agama rakyat, guru KAFA, guru pondok, guru takmir dan badan bukan kerajaan dari seluruh Pulau Pinang.

Dalam ucapannya, PM Anwar tekankan kepentingan keseimbangan dan kesederhanaan dalam tantangan mengejar pembangunan serta kemajuan.

“Idea Madani yang diperkenalkan mampu memberi tumpuan kepada kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya.

Katanya, sederhana dalam tafsiran Syeikh Ali Jumaah, mantan Mufti Agung Mesir menyatakan ianya seperti mendaki bukit dan menuruni bukit.
Dalam hal ini sampai puncak bukit adalah kemuncak kesederhanaan dengan semangat itqan fil amal (ketekunan dengan kerja yang bersungguh-sungguh).

Selain itu, katanya, perkara yang dianggap kecil dan isu asas seperti kebersihan juga perlu diberi pertimbangan.

“Isu tandas bobrok dan kemudahan asas antara keutamaan saya oleh kerana melibatkan rakyat terbanyak,” tegas PM Anwar di majlis itu.