Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia yang kekal di bawah dua peratus setiap bulan sejak Mac 2024 adalah hasil daripada dasar fiskal dan pengurusan ekonomi yang konsisten.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata laporan inflasi terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi Mac 2025 menunjukkan kadar inflasi negara meningkat perlahan kepada 1.4 peratus, lebih rendah berbanding Februari 2025.

“Sejak Mac 2024, kadar inflasi kekal di bawah dua peratus setiap bulan. Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, ini satu pencapaian yang baik, bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil daripada dasar fiskal dan pengurusan ekonomi yang konsisten,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi beliau, hari ini.

Menurut Rafizi, jika diteliti, beberapa kategori perbelanjaan asas rakyat bukan sahaja stabil, malah menunjukkan penurunan harga.

Katanya, harga keseluruhan daging menurun 0.4 peratus, dipacu oleh penurunan harga daging lembu tempatan sebanyak 4.3 peratus.

Menurutnya, harga beras juga terus menurun sebanyak 0.9 peratus, berbanding penurunan sebanyak 0.3 peratus pada Februari 2025.

“Adakah kita akan kembali ke paras harga sebelum COVID-19? Terus terang, tidak. Tetapi kerajaan akan terus memantau dan memastikan kadar inflasi terkawal supaya rakyat boleh merancang kehidupan dan kewangan dengan lebih yakin,” katanya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dalam satu kenyataan hari ini berkata inflasi pada Mac 2025 didorong oleh peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan pada 3.6 peratus.

Ini diikuti oleh restoran dan perkhidmatan penginapan pada 2.9 peratus; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain pada 1.9 peratus; minuman alkohol dan tembakau pada 0.8 peratus dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pada 0.2 peratus.-BH Online