Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH: Kerajaan Melaka memberi jaminan bekalan makanan di negeri ini kekal mencukupi, stabil dan terkawal meskipun berdepan ketidaktentuan global termasuk konflik geopolitik dan gangguan rantaian perdagangan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan keterjaminan makanan terus terpelihara, selain melindungi kebajikan rakyat daripada tekanan kos sara hidup.

Menerusi pembentangan Usul Terima Kasih atas ucapan pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, beliau merumuskan pencapaian tiga tahun pentadbirannya sebagai Ketua Menteri merangkumi 14 fokus utama dengan keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.

“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu ketika ini, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha memastikan bekalan makanan rakyat sentiasa mencukupi dan stabil.

“Selain itu, kerajaan negeri turut mempergiat usaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import menerusi peruntukan berjumlah RM6.42 juta di bawah Program Agromakanan Negara membabitkan 10 projek utama, selain RM2.08 juta melalui Rancangan Malaysia Ke-12 bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran,” katanya selepas menghadiri Persidangan DUN Pertama, Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga menyediakan RM1.2 juta khusus bagi sektor penternakan, manakala bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 44 metrik tan beras Melaka sudah diedarkan.

“Kita menjangkakan pengeluaran padi mencecah 7,000 tan metrik menjelang hujung tahun ini sebagai usaha memperkukuh keterjaminan makanan negeri,” katanya

Sementara itu, Ab Rauf berkata pelbagai langkah turut diambil bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat termasuk bantuan kepada golongan petani, penternak dan nelayan.

Katanya, antara inisiatif dilaksanakan ialah pemberian insentif pembajakan sebanyak RM30 bagi setiap ekar kepada pesawah, selain pelaksanaan Skim Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Nelayan membabitkan RM900,000 bagi menaik taraf infrastruktur dan RM1 juta bagi penyediaan peralatan menangkap ikan.

“Kerajaan negeri juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengawal harga dan bekalan, selain melaksanakan program jualan ayam serendah RM5 hingga RM10 di beberapa kawasan bagi mengurangkan beban rakyat.

“Selain itu, bantuan sekali beri (one-off) sebanyak RM300 turut diberikan kepada petani sayur-sayuran dan buah-buahan yang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian negeri,” katanya.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut bersetuju memberikan diskaun 50 peratus bagi pembaharuan lesen penjaja di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai usaha membantu peniaga kecil.

Dalam sektor perumahan pula, katanya, peruntukan bagi program MeSRa Perumahan ditingkatkan daripada RM3 juta kepada RM5 juta bermula tahun depan bagi membina dan membaik pulih rumah rakyat.

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri juga merancang untuk menganjurkan Karnival Anak Muda Melaka sebagai platform pembangunan bakat, kepimpinan dan peluang kepada golongan belia.

“Apa yang kita capai hari ini bukan retorik atau janji kosong, tetapi hasil kerja keras dan tindakan konsisten kerajaan negeri. Kerajaan negeri tidak bekerja kerana pilihan raya, sebaliknya melaksanakan tanggungjawab untuk rakyat,” katanya.-BH Online