KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-92 kepada seluruh warga dan veteran angkatan itu.
Seri Paduka Baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia turut merakamkan setinggi penghargaan di atas jasa, bakti dan pengorbanan yang telah mereka curahkan dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Istiadat Perbarisan sempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-92 yang bertemakan “TLDM Perkasa Kedaulatan Terpelihara” berlangsung di Pangkalan TLDM Lumut, Perak hari ini.
Upacara itu disempurnakan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha sebagai simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan seluruh warga TLDM dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.– BERNAMA
