Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 amat penting sebagai platform persediaan atlet negara ke arah Sukan SEA 2027, kata Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata, walaupun SUKMA yang dijadualkan pada 15 hingga 24 Ogos itu dilaksanakan secara berhemat, ia tidak akan menjejaskan jumlah sukan dipertandingkan.

“Sebarang perbincangan bersama Tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah) pada Rabu ini serta mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi pada Khamis akan datang, akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan penganjuran SUKMA 2026 akan diteruskan setelah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut KBS, Sultan Selangor memberi perkenan itu setelah menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, persiapan kemudahan sukan sempena Sukan SEA 2027 di negeri itu berjalan lancar walaupun berdepan cabaran.

Beliau berkata, terdapat beberapa perkara dibangkitkan pihak kontraktor terutamanya berkaitan peningkatan kos bahan binaan, namun perkara itu sedang diteliti.

“Kita akan menilai satu persatu, namun ia tidak menjejaskan majlis perasmian serta semua acara sukan yang diadakan di Sarawak. Peningkatan kos tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga bahan binaan, namun sebarang tambahan peruntukan akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan,” katanya.

Beliau menegaskan tiada kelewatan dalam jadual pelaksanaan dengan pemantauan rapi terus dilakukan termasuk kerja di tapak projek yang berjalan hingga waktu malam bagi memastikan semua kemudahan siap mengikut jadual.-BH Online