Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAPAH: Perikatan Nasional (PN) didakwa terdesak untuk mencari kelemahan kerajaan negeri, termasuk menggunakan isu kandang babi yang terletak di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata keadaan itu mempamerkan PN sangat ketandusan idea, selain menggunakan isu demi mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan rakyat.

“Bila dia (PN) mahu politikkan perkara ini (babi) dia cari sampai dapat, termasuklah melawat kawasan di luar DUN Ayer Kuning. Melaratlah lepas ini, pergi cari jalan rosak sampai ke Lenggong.

“(Akan) bangkitlah, kerajaan Perak… jalan rosak di Lenggong walaupun yang mengundi di Ayer Kuning sahaja. Dia akan cuba bangkitkan kemarahan, kebencian dan rasa tak puas hati (dalam kalangan rakyat),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan PN, anak Sungai Bidor yang terletak dalam DUN Behrang tidak boleh digunakan, termasuk untuk mengambil wuduk kerana tercemar akibat kewujudan ladang babi.

Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak mengakui pihaknya tidak mempunyai autoriti untuk mengesahkan sama ada air sungai itu boleh digunakan untuk mengambil wuduk atau sebaliknya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu juga menggesa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuat siasatan ke atas kualiti air sungai terbabit, selain mendesak semua pihak tidak mempolitikkan isu berkenaan.

“Bukan saya yang boleh mengesahkan kandungan air sungai berkenaan cukup syarat atau tidak untuk diguna ketika mengambil wuduk, sebaliknya ia perlu dibuat oleh JAIPk.

“Tak perlu lapor (kepada JAIPk) kerana mereka sudah tahu (isu berkenaan) sebab berita mengenainya sudah dilaporkan dalam media. JAIPk pihak berautoriti dan lebih tahu air macam mana, sukatannya, ada bau atau tak.

“Semua perincian ini akan dimaklumkan JAIPk dan mereka lebih tahu daripada saya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) negeri itu.

Mengulas lanjut, katanya, inisiatif bagi menyelesaikan isu berkaitan penternakan babi di Perak sudah dibuat dengan prosedur itu diterajui EXCO Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan.

Bagaimanapun, katanya, Sivanesan meminta tempoh tambahan selama setahun, mengambil kira tahap kerumitan menyelesaikan isu penternakan babi di negeri itu.

“Isu ini sudah dijawab panjang lebar oleh Sivanesan ketika persidangan DUN Perak. Malah, beliau menawarkan diri untuk mengambil tanggungjawab menguruskan dan menyelesaikan masalah ternakan babi.

“Saya beri tangungjawab ini kepada beliau (dan perlu diselesaikan dalam tempoh) dua tahun. Namun, Sivanesan minta setahun lagi untuk menyelesaikannya.

“Saya yakin beliau sudah buat banyak tindakan biarpun tidak mudah dan keadaan ini diakui sendiri oleh bekas EXCO Pertanian negeri, Razman Zakaria (kini Ketua Pembangkang DUN Perak). Dia mengaku tak senang nak selesai isu ini,” katanya.-BH Online