Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CEBU: Kerajaan memberi jaminan bekalan minyak dan diesel negara kini lebih teratur selepas langkah proaktif diambil, terutama menerusi penyelarasan di bawah Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan sudah mengambil beberapa langkah bagi memastikan bekalan bahan api negara mencukupi, termasuk melalui import apabila diperlukan.

“Kita mengambil langkah lebih proaktif, khususnya di bawah PETRONAS. Kita sudah memastikan bekalan minyak dan diesel dapat diagihkan dengan lebih seimbang.

“Ini juga disebabkan beberapa langkah asas yang kita ambil, termasuk mengurangkan penggunaan RON95 serta memperkukuh kawalan bagi menangani ketirisan diesel.

“Jadi, penggunaan kini jauh lebih rendah. Kita juga mengambil langkah untuk mengimport bekalan dan oleh itu dari segi bekalan, keadaannya tidak lagi setegang seperti dua bulan lalu.” katanya ketika diminta mengulas mengenai status bekalan minyak negara yang sebelum ini dilaporkan mampu bertahan sekurang-kurangnya sehingga Jun ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina, hari ini.

Perdana Menteri berkata, langkah mengurangkan kebocoran dan ketirisan diesel turut membantu menurunkan kadar penggunaan bahan api berkenaan.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan bekalan domestik kekal stabil selain mengurangkan tekanan kepada kerajaan dalam keadaan harga tenaga global yang tidak menentu.

Katanya, isu bekalan tenaga turut menjadi perhatian utama ASEAN susulan kesan konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada pasaran minyak dan gas dunia.

Beliau berkata, selain isu bekalan, peningkatan kos bahan api turut memberi kesan kepada kos makanan, baja dan pengangkutan.

Sehubungan itu, Anwar berkata, ASEAN mengambil pendekatan proaktif bagi meningkatkan kerjasama serantau, termasuk memastikan negara yang mempunyai lebihan bekalan memberi keutamaan kepada negara jiran.

Katanya, langkah itu penting bagi melindungi rakyat daripada tekanan kenaikan harga barang, selain memastikan keselamatan tenaga rantau ini terus diperkukuh.-BH Online