Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelbagai polemik serta kritikan yang timbul berhubung inisiatif pembangunan dan seni budaya di ibu negara tidak menjejaskan daya tarikan Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata kritikan itu sebaliknya membuktikan bandar raya itu terus mendapat perhatian meluas.

Beliau berkata, setiap perhatian yang diberikan sama ada berbentuk sokongan mahupun kritikan tetap membawa impak positif dan meletakkan Kuala Lumpur sebagai tumpuan utama pelbagai pihak.

“Saya tidak percaya publisiti negatif atau perhatian meluas yang dijana mengenai Kuala Lumpur tidak mempunyai hasil yang positif. Bagi saya, tiada istilah publisiti negatif.

“Terdapat begitu banyak minat terhadap Kuala Lumpur ketika ini disebabkan oleh pelbagai personaliti penting yang berada di sekeliling ibu negara,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pengumuman KL Festival 2027 dan Resepsi Rakan Kerjasama, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai beberapa isu berbangkit membabitkan inisiatif di Kuala Lumpur yang mencetuskan perdebatan hangat baru-baru ini, termasuk isu peruntukan kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) serta cadangan menjadikan ibu negara sebagai hab hiburan.

Mengulas lanjut mengenai isu KLSCAH, Hannah berkata, peruntukan nominal yang disalurkan bagi tujuan kerja pembersihan bangunan bersejarah itu pada asalnya adalah berita positif, namun bertukar menjadi perdebatan hangat sehingga menarik perhatian luar biasa di Parlimen.

“Semalam di Parlimen, saya diminta menjawab mengenai KLSCAH yang diberikan sejumlah peruntukan nominal untuk membersihkan bangunan berkenaan. 

“Ia sepatutnya menjadi berita positif semasa mula diumumkan, namun mencetuskan bantahan yang begitu hebat.

“Terlalu banyak perhatian diberikan mengenai KLSCAH sehinggakan kami terpaksa menjawab usul tergempar di Kamar Khas semalam, hingga menyebabkan Dewan Rakyat kelihatan kosong kerana ramai Ahli Parlimen masuk ke Kamar Khas untuk berbahas mengenainya,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah turut menangkis tanggapan negatif segelintir pihak yang mengaitkan pengumuman Kuala Lumpur sebagai hab hiburan dengan gejala tidak bermoral.

Katanya, konsep hiburan yang diketengahkan kerajaan adalah berteraskan pemuliharaan seni, tradisi dan warisan tempatan, bukannya elemen negatif seperti yang didakwa.

“Apabila kami mengumumkan Kuala Lumpur sebagai hab hiburan, sekali lagi banyak kecaman timbul kononnya ia akan menjadi tempat berlakunya maksiat.

“Namun, saya berpendirian hiburan yang dimaksudkan adalah mengenai tarian tradisional seperti joget, mengembalikan tradisi dan budaya serta menghidupkan kembali suasana jalanan di Kuala Lumpur,” katanya. -BH Online