Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

IPOH: Kerajaan Perak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam bawah pentadbiran kerajaan negeri dan akan dibayar pada 22 Disember depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata BKK itu turut diberi kepada ahli Ex Officio, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semua guru lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) negeri, Orang Besar Jajahan, serta petugas bawah Kontrak MySTEP.

“Selain itu, kerajaan negeri berbesar hati memanjangkan pemberian BKK pada kadar RM600 bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan India, serta Tok Batin Kampung Orang Asli.

“BKK ini turut dipanjangkan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT); Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA); Guru I’dadi dan Thanawi; Guru dan Penyelia Tadika Islam; Guru AIMAN dan Guru Agama Dakwah yang ditadbir urus oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada kadar RM400,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak 2027 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Seterusnya, Saarani berkata, BKK turut dipanjangkan kepada Yang Dipertua DUN Perak dan semua Pusat Khidmat DUN pada kadar dua bulan elaun membabitkan jumlah RM20,000 yang akan dibayar pada Januari 2027.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan mulai Januari 2027, elaun bulanan Guru Tadika Islam dinaikkan sebanyak RM200 daripada RM1,200 kepada RM1,400, manakala elaun Penyelia Tadika Islam dinaikkan RM100 daripada RM1,500 kepada RM1,600, yang memanfaatkan 168 guru dan 12 penyelia membabitkan peruntukan keseluruhan elaun sebanyak RM3.05 juta.

Selain itu, beliau mengumumkan RM10.08 juta disedia bagi meneruskan pembayaran elaun kepada imam, bilal dan siak di seluruh negeri.

“Sebagai tanda penghargaan atas khidmat dan jasa yang dicurahkan, kerajaan negeri juga memperkenalkan inisiatif baharu, Anugerah Mengerjakan Haji kepada imam, bilal, siak serta Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk yang memenuhi syarat kelayakan, dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

“Pada masa sama, sebanyak RM3 juta disedia bagi meneruskan Program Sumbangan Para Jemaah Haji, membabitkan bantuan RM1,000 seorang kepada 3,000 jemaah yang bakal menunaikan ibadah haji tahun depan,” katanya.

Bagi meraikan kejayaan atlet Perak yang mengharumkan nama negeri pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 pula, Saarani berkata kerajaan negeri menyediakan RM1.39 juta bagi pembayaran insentif khas kepada atlet yang berjaya meraih pingat.

Terdahulu, Saarani membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.693 bilion membabitkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.1 bilion dan pembangunan sebanyak RM593 juta, meningkat dari tahun sebelumnya.-BH Online