Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) akan terus dilaksanakan berdasarkan keperluan dan keadaan semasa sebagai antara instrumen intervensi kerajaan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, namun bukan sebagai satu-satunya penyelesaian jangka panjang terhadap isu berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata Program Payung RAHMAH antara inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup menerusi beberapa program yang memberikan manfaat secara langsung kepada pengguna.

Beliau berkata, menerusi PJRM, rakyat diberikan akses kepada barangan keperluan harian pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran setempat melalui kerjasama strategik antara kerajaan dengan pemain industri sektor peruncitan.

Katanya, pelaksanaan program itu diperluaskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan rakyat, dengan kekerapan sebanyak dua kali sebulan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2025.

“Kekerapan itu kemudian ditingkatkan kepada tiga kali sebulan pada awal 2026 sebelum dinaikkan kepada empat kali sebulan mulai Mei 2026.

“Peningkatan kekerapan berkenaan menunjukkan PJRM kekal relevan sebagai instrumen intervensi kerajaan dalam membantu mengurangkan tekanan perbelanjaan isi rumah,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Berong) yang mahu penjelasan mengenai keberkesanan jangka panjang program Payung RAHMAH sama ada mampan sebagai dasar kekal atau sekadar intervensi pasaran sementara serta implikasinya terhadap margin keuntungan peniaga runcit kecil.

Armizan menegaskan usaha menangani kos sara hidup memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan tidak boleh bergantung kepada intervensi harga semata-mata.

Sehubungan itu, katanya PJRM perlu dilihat sebagai sebahagian daripada keseluruhan ekosistem dasar kerajaan dalam menangani kos sara hidup, bukannya satu-satunya penyelesaian kepada isu berkenaan.

Beliau berkata, menerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), kerajaan turut memberi perhatian kepada strategi jangka panjang bagi menangani faktor asas kos sara hidup, termasuk usaha meningkatkan pendapatan dan keupayaan ekonomi rakyat.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan peningkatan taraf hidup rakyat bukan sahaja dicapai melalui pengurangan beban perbelanjaan, malah menerusi peningkatan keupayaan mereka menjana pendapatan secara mampan.

Mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan program berkenaan menjejaskan margin keuntungan peniaga runcit kecil, Armizan berkata, kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan serta kelangsungan pemain industri dalam merangka pelaksanaan PJRM.

Katanya, program itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan rakan strategik sektor peruncitan, termasuk pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan koperasi.

“Pendekatan berkenaan membolehkan barangan ditawarkan pada harga lebih rendah kepada pengguna tanpa menjadikan penurunan harga itu sebagai suatu ketetapan harga pasaran yang perlu ditanggung secara berterusan oleh peniaga.

“Justeru pelaksanaan PJRM bukan bertujuan menekan margin keuntungan peniaga atau mewujudkan persaingan harga tidak sihat, sebaliknya menjadi mekanisme intervensi kerajaan yang dilaksanakan secara kerjasama dengan pihak industri,” katanya.

Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus menilai mekanisme pelaksanaan program itu bagi memastikan keseimbangan antara keperluan membantu pengguna dengan usaha menjamin sektor peruncitan, termasuk peniaga kecil, terus berdaya maju.

Secara keseluruhannya, beliau berkata kerajaan melihat PJRM sebagai antara instrumen intervensi kos sara hidup yang akan terus dilaksanakan berdasarkan keperluan dan keadaan semasa.

Pada masa sama, katanya strategi jangka panjang kerajaan menerusi NACCOL akan terus memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pendapatan serta daya tahan ekonomi rakyat supaya isu kos sara hidup dapat ditangani secara lebih menyeluruh dan mampan. -BH Online