KUALA LUMPUR: Siasatan kes penyeludupan dadah membabitkan penggunaan aset ketenteraan negara, masih diteruskan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka melakukan beberapa lagi tangkapan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
“Siasatan belum terhenti dan kita akan ada lagi (tangkapan),” katanya pada sidang media selepas pelancaran Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AIESE27) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Berdasarkan taklimat terkini oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, beliau berkata, seramai 13 individu telah ditahan yang terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam, setakat ini.
Katanya, beliau juga dijadualkan menjawab soalan berkaitan isu itu di Parlimen pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), Khamis ini.
Sindiket penyeludupan dadah itu terbongkar dengan penemuan 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine dianggarkan bernilai RM4.83 juta serta 6.98kg bahan kimia ketika pemeriksaan rutin terhadap barangan yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang, baru-baru ini.
Sementara itu, Saifuddin Nasution menyifatkan usaha menerapkan integriti dalam kalangan penguat kuasa, membuahkan hasil susulan penahanan seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), semalam.
“Kita jangan ingat seruan berterusan (mengenai integriti) masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Ini satu contoh bagaimana anggota kita menghayati nasihat dan seruan kita,” katanya.
Semalam, media melaporkan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengesahkan penahanan seorang pegawai agensi itu berusia 40-an susulan aduan seorang pegawai wanita berhubung dakwaan salah laku membabitkan pegawai atasannya. -BH Online
