GEORGE TOWN: Pulau Pinang berpotensi menjadi hab perdagangan emas dan barang kemas serantau dengan memanfaatkan ekosistem pembuatan yang kukuh, sektor peruncitan yang mantap serta permintaan global yang semakin meningkat terhadap destinasi perdagangan alternatif susulan ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi semasa.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata negeri itu, yang menyumbang kira-kira 70 peratus daripada kapasiti pembuatan barang kemas Malaysia, berada pada kedudukan terbaik untuk memainkan peranan lebih besar dalam perdagangan emas serantau dan ekonomi penciptaan nilai.
Beliau berkata, susulan perang tarif dan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran, pembeli global di Dubai serta penjual di India kini semakin mencari lokasi alternatif bagi aktiviti perdagangan.
“Di Pulau Pinang, kita mempunyai kedua-dua sektor pembuatan barang kemas tradisional yang telah lama bertapak dan sektor peruncitan. Pada asasnya, Pulau Pinang ialah India dan Dubai.
“Dalam sektor pembuatan, kita mempunyai AS+1 China+1, dalam peruncitan dan perkhidmatan, mengapa kita tidak boleh menjadi Dubai+1? Jika pembeli global tidak dapat terbang ke Dubai, jadi mengapa tidak datang ke Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Perdagangan Emas dan Barang Kemas Malaysia (MGJE) 2026 di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini hari ini.
Sementara itu, Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkat,a cadangan Hab Emas Pulau Pinang adalah sebahagian daripada agenda besar, iaitu Pulau Pinang 3.0 yang bertujuan mengubah negeri itu daripada ekonomi pembuatan kos rendah kepada ekonomi penciptaan nilai yang dipacu kepakaran dan perniagaan tempatan.
“Jika Pulau Pinang 3.0 dipacu oleh nilai, maka kita tidak seharusnya melepaskan peluang terhadap satu daripada perdagangan tertua kita di Pulau Pinang, iaitu sektor emas dan barang kemas, perniagaan berusia 200 tahun,” katanya.
Menurutnya, perbincangan mengenai hab yang dicadangkan itu kini sedang diperhalusi menerusi kertas kerja untuk dikemukakan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow selepas sesi libat urus bersama pemain industri dan pemimpin perniagaan.
Beliau berkata, hab yang dicadangkan itu boleh mengintegrasikan keseluruhan ekosistem emas dan barang kemas termasuk penapisan emas, reka bentuk, pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan penyimpanan.
Chee Keong berkata, inisiatif Pulau Pinang 3.0 mewakili peralihan daripada model ekonomi ‘Dibuat di Pulau Pinang’ kepada model ‘Dibuat oleh Pulau Pinang’ dengan memberi tumpuan kepada penciptaan nilai oleh perniagaan tempatan bagi memastikan daya saing dan kemampanan ekonomi negeri itu dalam tempoh 50 tahun akan datang.
Terdahulu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada Province Wellesley Gold and Silver Ornament Merchants Association (PWGS) selaku penganjur MGJE 2026.
Pameran selama tiga hari bermula hari ini dijangka menjana jualan kira-kira RM100 juta, yang sebahagian besarnya memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor emas dan barang kemas.-BERNAMA
