Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Operasi Pembenihan Awan (OPA) Siri 5 dan 6 di Perlis serta Kedah akan dilaksanakan pada Ahad hingga Selasa ini serta 17 hingga 19 Mei ini sebagai langkah proaktif bagi meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan utama.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata operasi terbabit akan memberi tumpuan kepada kawasan tadahan Empangan Timah Tasoh di Perlis dan Empangan Pedu, Ahning, Muda serta Beris di Kedah bagi meningkatkan paras air yang berada pada tahap waspada.

“Pelaksanaan OPA ini membabitkan kerjasama strategik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“OPA akan dilaksanakan berdasarkan analisis meteorologi yang teliti oleh METMalaysia dengan mengambil kira faktor kelembapan udara, kestabilan atmosfera serta corak pergerakan angin bagi memastikan keberkesanan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arthur berkata, kawasan sasaran dipilih berdasarkan kehadiran awan hujan yang berpotensi untuk proses pembenihan.

Justeru, beliau berkata, orang awam dinasihat sentiasa mengikuti METMalaysia untuk mendapatkan maklumat cuaca yang terkini menerusi laman sesawang (www.met.gov.my), aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi (Facebook, Instagram, X, Youtube dan Telegram) atau hubungi talian Hotline 1-800-22-1638.-BH Online