KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneliti strategi dan usaha terkini untuk mengukuhkan hubungan perdagangan positif antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Perkara itu dimaklumkan Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang kini berada di AS bagi mengetuai delegasi Malaysia berunding berkait tarif yang dikenakan pentadbiran Presiden Donald Trump.
Beliau menegaskan, Malaysia khususnya MITI komited untuk mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.
“Tiba di Washington untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia. Sebelum bertemu pegawai kanan kerajaan Amerika Syarikat, saya adakan perbincangan dengan pasukan MITI di sini.
“Kita teliti strategi dan usaha terkini untuk mengukuhkan hubungan perdagangan Malaysia-AS. Kerja keras dan perancangan rapi penting untuk hasil yang positif,” katanya melalui maut naik di platform X sebentar tadi.
Tengku Zafrul sebelum ini dilapor berkata pasukan MITI yang berada di Washington dan pejabat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sudah pun memulakan proses rundingan berhubung isu tarif dikenakan Pentadbiran Trump.
Beliau menegaskan keutamaan negara akan menjadi asas utama dalam sebarang keputusan dibuat kelak.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia enggan berpegang kepada ‘megaphone diplomacy’ sebagai respons kepada impak pelaksanaan tarif oleh Trump.
Sebaliknya, Perdana Menteri mengulangi penegasan bahawa Malaysia akan mengguna pendekatan ‘soft diplomacy’ dalam rundingan bersama AS.-BH Online