Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lonjakan pengguna aplikasi TuJu daripada 200,000 kepada 800,000 dalam tempoh singkat mendorong Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mempergiat usaha meningkatkan kapasiti dan kestabilan sistem navigasi tempatan itu.

Ketua Pengarah LLM Ir Mohd Hadzmir Yusoff berkata, peningkatan empat kali ganda itu memberi cabaran kepada kapasiti penyimpanan dan pemprosesan data sedia ada.

Menurutnya, LLM bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), kini memberi tumpuan kepada pemulihan fungsi navigasi dan penambahbaikan sistem.

“Gangguan yang berlaku melibatkan fungsi navigasi, manakala fungsi lain masih beroperasi seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tempoh diperlukan untuk memulihkan sepenuhnya fungsi navigasi yang terjejas.

Mohd Hadzmir berkata, beberapa aspek teknikal dan fungsi TuJu sedang diperkukuh bagi menyokong penggunaan pada skala lebih besar.

“LLM mengakui bahawa masih terdapat aspek teknikal dan fungsi aplikasi TuJu yang perlu diperkukuh bagi menyokong penggunaan pada skala yang lebih besar,” katanya.

Jelasnya, TuJu pada asalnya dibangunkan untuk menyediakan maklumat trafik lebuh raya secara masa nyata, sebelum fungsi navigasi dipertingkatkan sebagai nilai tambah.

Namun, peningkatan mendadak pengguna memberi cabaran kepada kapasiti sistem sedia ada, khususnya dalam mengendalikan jumlah data yang semakin besar.

Ditanya mengenai persediaan menghadapi lonjakan pengguna sebelum pengumuman kerajaan, beliau menjelaskan keperluan peningkatan kapasiti sistem sedang diperincikan.

Antara langkah yang diberi perhatian termasuk meningkatkan ketepatan maklumat laluan, memperkukuh pemantauan prestasi dan mengurangkan risiko gangguan berulang.

Usaha itu turut melibatkan penyelarasan bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan GovTech Malaysia.

Menurutnya, kerjasama berkenaan bertujuan memperkukuh keselamatan data serta kebolehpercayaan TuJu sebagai aplikasi navigasi alternatif tempatan.

Semalam, LLM memaklumkan fungsi navigasi TuJu mengalami gangguan sementara susulan peningkatan mendadak pengguna.

LLM bersama penyedia aplikasi kemudian melaksanakan kerja pemulihan dan penambahbaikan bagi meningkatkan kestabilan sistem.

TuJu yang dilancarkan pada 26 November 2025 menyediakan maklumat trafik lebuh raya, kemudahan jalan raya dan bantuan kecemasan kepada pengguna.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengeluarkan arahan melarang penggunaan Waze bagi urusan rasmi penjawat awam berkuat kuasa 20 Oktober lalu, susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) atas faktor keselamatan data.

Bagaimanapun, Menteri Digital, Gobind Singh Deo menjelaskan penjawat awam tidak diwajibkan menggunakan TuJu semata-mata, sebaliknya boleh menggunakan aplikasi lain termasuk Google Maps.

Larangan Waze itu juga tidak terpakai kepada orang awam bagi kegunaan peribadi. -Astro Awani