KUALA LUMPUR: Kanser kekal sebagai punca kematian ketiga tertinggi di Malaysia, dengan kira-kira 40,000 kes baharu direkodkan setiap tahun, sekali gus menunjukkan bebanan yang semakin meningkat terhadap sistem penjagaan kesihatan dan kapasiti tenaga kerja negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata negara perlu menghadapi realiti beban kanser yang semakin kompleks, sambil menekankan bahawa profesional penjagaan kesihatan, terutamanya pakar onkologi, penting untuk mengekalkan tindak balas nasional yang berkesan.
“Kita perlu berterus terang tentang landskap yang kita hadapi. Kanser kekal sebagai penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia, dengan kira-kira 40,000 kes baharu dilaporkan setiap tahun.
“Bagi menghadapi cabaran ini, tenaga kerja kita adalah aset terbesar kita,” katanya ketika merasmikan Forum Pakar Onkologi Wanita: “Giving Value, Gaining Impact” (Menyumbang Khidmat, Menjana Impak), di sini, semalam.
Forum anjuran Roche Malaysia, yang julung kali diadakan itu menghimpunkan pakar onkologi wanita di seluruh negara untuk bertukar-tular pandangan tentang bimbingan, kepimpinan dan pembangunan profesional dalam penjagaan penyakit kanser.
Turut hadir Pengurus Besar Roche Malaysia, Deepti Saraf dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Nor Fariza Ngah.
Dzulkefly berkata Malaysia kini mempunyai 84 pakar onkologi di seluruh negara, peningkatan 60 peratus sejak 2019, namun jumlah itu masih tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan penjagaan kanser yang semakin meningkat dan kompleks.
Katanya, Kementerian Kesihatan terus komited terhadap pendekatan “whole-of-society” (keseluruhan masyarakat”, tetapi menegaskan usaha kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk menangani pelbagai cabaran dalam penjagaan kesihatan.
Beliau berkata inisiatif “Cancer Care Closer to Community” yang dijalankan secara kerjasama dengan Roche Malaysia merupakan contoh utama usaha untuk memencarkan penjagaan kanser dan menambah baik akses kepada rawatan, terutamanya di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.
Selain cabaran kapasiti, Dzulkefly menekankan aspek penjagaan kanser yang menumpukan rawatan pesakit, menyifatkannya sebagai bidang mencabar yang memerlukan daya tahan, penyelarasan dan pembelajaran berterusan.
Beliau juga mengetengahkan tekanan tambahan yang dihadapi oleh pakar onkologi wanita, yang terpaksa mengimbangi tanggungjawab profesional dengan komitmen peribadi sambil terus memberikan penjagaan berkualiti tinggi.
“Bagi wanita yang bertugas dalam bidang ini, tuntutan profesional ini sering disulitkan lagi oleh tanggungjawab di luar tempat kerja. Namun begitu, anda terus menunjukkan kecekalan, belas kasihan dan komitmen tinggi terhadap pesakit anda,” katanya.– BERNAMA
