KUALA LUMPUR: Delegasi Malaysia melalui sesi perbincangan produktif di Washington dalam usaha mencari jalan penyelesaian perdagangan adil dan saksama, susulan tarif dikenakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perkara itu dikongsi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengetuai delegasi ke AS, melalui ciapan di platform X sebentar tadi.
Ciapan itu merujuk pertemuan bersama Pegawai Kanan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) AS, Matt Murray hari ini, namun beliau tidak mengulas lanjut inti pati perbincangan berkenaan.
“Mencari jalan penyelesaian perdagangan yang adil dan saksama… sesi perbincangan yang produktif di Washington bersama Duta Matt Murray (Pegawai Kanan APEC AS),” katanya.
Tambah Tengku Zafrul, misi delegasi Malaysia ke Washington adalah sebagai rakan yang membina bukan sahaja dalam konteks dua hala, tetapi juga sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan ahli APEC yang komited.
“Kami menghargai keterbukaan AS untuk mendengar dan bersedia untuk meneruskan perbincangan secara berstruktur demi manfaat bersama.
“Jumpa lagi di Mesyuarat Menteri Perdagangan APEC (MRT) di Jeju, Korea,” katanya.
Terdahulu, melalui ciapan berasingan, Tengku Zafrul memaklumkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneliti strategi dan usaha terkini untuk mengukuhkan hubungan perdagangan positif antara Malaysia dan AS dalam mendepani isu tarif yang dikenakan pentadbiran Trump.
Beliau menegaskan, Malaysia, khususnya MITI komited untuk mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.
“Tiba di Washington untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia. Sebelum bertemu pegawai kanan kerajaan AS, saya adakan perbincangan dengan pasukan MITI di sini.
“Kita teliti strategi dan usaha terkini untuk mengukuhkan hubungan perdagangan Malaysia-AS. Kerja keras dan perancangan rapi penting untuk hasil yang positif,” katanya.
Tengku Zafrul sebelum ini dilaporkan berkata, pasukan MITI di Washington dan pejabat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sudah pun memulakan proses rundingan isu tarif dikenakan pentadbiran Trump.
Beliau menegaskan, keutamaan negara akan menjadi asas utama dalam sebarang keputusan dibuat kelak.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia enggan berpegang kepada megaphone diplomacy sebagai reaksi kepada impak pelaksanaan tarif oleh Trump.
Sebaliknya, beliau mengulangi penegasan bahawa Malaysia akan mengguna pendekatan soft diplomacydalam rundingan bersama AS.-BH Online