Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak pernah menghalang mana-mana pelajar yang menerima tawaran ke universiti awam (UA) untuk mendaftarkan diri biarpun tiada wang. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan, tuduhan bahawa kerajaan tidak prihatin terhadap nasib golongan B40 untuk melanjutkan pelajaran mereka ke UA adalah tidak benar.

“Semua boleh mendaftar di universiti selepas mendapat tawaran. Tak pernah ada yang dihalang mendaftar jika tiada wang. Jangan risau mak abah, kami juga pernah susah sepertimana kalian. 

“Inilah peluang mengubah nasib keluarga. Jangan dihirau bingit di luar sana. Semuanya auta belaka. Mari sajalah daftar, nanti kami bantu sehabis baik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.

KPT menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan bantuan awal pendaftaran atau Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500, selain kemudahan pembiayaan pendidikan dengan kadar bayaran balik yang fleksibel.

Bagi menampung kos sewaan penginapan semasa yang tinggi, penempatan di kolej kediaman dengan kadar sewaan yang bersubsidi juga disediakan kepada palajar, selain program dapur siswa dan bantuan makanan kepada pelajar memerlukan. 

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan meneruskan inisiatif pemberian Baucar Buku MADANI bernilai RM100, dimana ia dikhususkan untuk pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) serta mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Keputusan permohonan UPUOnline bagi Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk ke UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi Sesi Akademik 2026/2027 boleh disemak pada 22 Mei lalu.-BH Online