Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengenal pasti 91 pelajar Tingkatan Lima Maktab Rendah Sains MARA (MSRM) dalam kategori keluarga berpendapatan rendah (B40) dari seluruh negara yang memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 ke atas menjadi kelompok yang akan dibimbing supaya terus cemerlang untuk dihantar menyambung pelajaran ke luar negara.

Kumpulan pelajar terbabit yang kebanyakannya berasal dari kawasan luar bandar dengan sebahagian besarnya tidak pernah menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur diraikan pada majlis Program Pembangunan Holistik BUDI (BHDP) di sini, hari ini.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki, berkata 91 pelajar terbabit adalah antara 2,011 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima MRSM yang menerima manfaat Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI) MARA dengan peruntukan lebih RM2.2 juta.

Beliau berkata, kecemerlangan pendidikan ditunjukkan kumpulan pelajar terbabit walaupun berasal daripada keluarga miskin amat membanggakan pihaknya dan mereka akan didedahkan dengan peluang pendidikan termasuk melanjutkan pengajian keluar negara selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Ini kerana, katanya, pelajar terbabit adalah aset penting negara yang perlu dibimbing, diasah dan disokong dengan penuh kasih sayang serta ketegasan yang membina.

“MARA bukan saja menyediakan bantuan pendidikan sepanjang pengajian, malah turut menyediakan pelbagai inisiatif dalam memastikan pembentukan pelajar BUDI yang cemerlang.

“Program ini antara manifestasi jelas komitmen MARA dalam memacu kecemerlangan pendidikan Bumiputera, khususnya dalam kalangan pelajar berprestasi tinggi yang akan membawa misi besar dalam pembangunan modal insan Bumiputera.

“Bagi kumpulan 91 pelajar yang diraikan di ibu pejabat MARA ini, kita sedia menghantar mereka melanjutkan pengajian ke universiti luar negara jika keputusan peperiksaan SPM nanti terus cemerlang,” katanya selepas merasmikan majlis berkenaan di ibu pejabat MARA, di sini, hari ini.

Program BUDI MARA memberi peluang pelajar daripada keluarga B40 mendapat akses kepada pendidikan berkualiti di MRSM tanpa dibebani masalah kewangan.

Kumpulan 91 pelajar MRSM ini akan mengikuti kursus tiga hari dua malam di persekitaran ilmiah German-Malaysian Institute (GMI) di sini. 

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, BHDP adalah antara inisiatif strategik MARA dalam pembangunan pelajar cemerlang BUDI MARA dari seluruh negara.

Beliau berkata, ia bukan sekadar program motivasi, sebaliknya membawa misi dan usaha MARA melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam akademik, tetapi berdaya saing dalam bidang profesional serta keusahawanan pada peringkat nasional dan antarabangsa.

“MARA menekankan bukan saja aspek akademik tetapi juga pembangunan rohani, emosi dan sosial. Saya yakin dengan pelbagai pendekatan baharu dan segar, MARA dapat melahirkan generasi muda yang cemerlang dan mempunyai akhlak terpuji.

“BHDP ini menumpukan kepada pembangunan holistik pelajar melalui pelbagai slot dan aktiviti menyentuh aspek kerjaya, kepimpinan, inovasi, pembangunan karakter, serta kesedaran terhadap hala tuju masa depan mereka,” katanya.-BH Online