KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak tertakluk kepada syarat menyokong kerajaan.
Beliau berkata peruntukan itu boleh disalurkan sebaik sahaja Belanjawan 2027 diluluskan Parlimen, selaras dengan persefahaman yang dicapai antara kerajaan dan wakil rakyat terbabit.
“Dia tak ada syarat kepada mana-mana Ahli Parlimen, tak ada syarat,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, di sini, hari ini, bagi menjawab isu pelaksanaan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) MADANI.
Mengulas tafsiran persefahaman itu mungkin menjadi peringatan kepada komponen pembangkang supaya tidak menarik sokongan terhadap kerajaan, Anwar berkata perkara itu merupakan tafsiran politik yang tidak boleh dinafikan.
“Ya, ini tafsiran politik tu tak boleh kita pertikai, memang akan berlaku tetapi saya nak beritahu ini bukan suatu yang janggal.
“Persefahaman ini berlaku dalam banyak negara demokrasi, tetapi dalam pengalaman di Malaysia memang ada perundingan dahulu,” katanya.
Anwar berkata mekanisme seumpama itu pernah dilaksanakan ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang manakala Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, rundingan ketika itu melibatkan wakil Pakatan Harapan serta wakil Bersatu, PAS, UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi pihak kerajaan.
“Ini bukan peraturan kita sekarang. Peraturan diguna pakai oleh kerajaan dulu yang disertai oleh Bersatu dan PAS… dan tentunya Barisan Nasional,” katanya.
Ditanya mengenai tempoh penyaluran peruntukan, Anwar berkata proses itu akan dilaksanakan selepas Belanjawan 2027 mendapat kelulusan Parlimen.
“Dia sebaik sahaja lulus Parlimen dan kita boleh salur segera,” katanya. -Astro Awani
