KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari mengadakan perbincangan dengan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang di pejabatnya Selasa lepas bagi merangka persiapan menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).
Dr Mohammed Taufiq berkata mereka berdua turut menyentuh pelbagai aspek perancangan yang dikemukakan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), termasuk kesinambungan latihan di Melbourne serta penyertaan dalam kejohanan termasuk peringkat Asia dan Siri Piala Dunia UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) untuk memaksimumkan kutipan mata kelayakan dalam acara sprint dan keirin di Sukan Olimpik.
“Kami juga membincangkan sokongan sains sukan dan perubatan, kejurulatihan, serta penyelidikan dan pembangunan peralatan supaya keperluan atlet sentiasa mematuhi peraturan UCI bagi kitaran LA28.
“MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) akan terus bersama PKBM bagi memastikan persiapan ini berjalan secara tersusun dan berterusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau juga percaya semangat Azizulhasni tidak pernah pudar dan seluruh negara akan terus bersama pelumba dengan julukan “The Pocket Rocketman” itu dalam perjalanannya ke LA 2028.
Baru-baru ini, pemenang dua pingat Sukan Olimpik itu terkandas di peringkat suku akhir acara keirin pada Kejohanan Dunia di Shanghai, China.
Bagaimanapun, beliau tetap mencatat kejayaan membanggakan buat sukan berbasikal negara apabila menggondol dua emas keirin masing-masing pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Scotland dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.– BERNAMA
