KUALA LUMPUR: Kadar inflasi negara menurun kepada 1.8 peratus bulan lalu, berbanding 1.9 peratus pada Ogos 2026, sekali gus menunjukkan tekanan kenaikan harga secara keseluruhan masih terkawal.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan bagaimanapun tidak mengambil mudah situasi berkenaan memandangkan terdapat peningkatan dalam trend harga bahan api global dan tekanan kos pengeluaran.
Beliau berkata, ini kerana harga minyak mentah global melonjak kepada AS$116.80 setong, berbanding AS$90.90 setong pada Ogos lalu, manakala Indeks Harga Pengeluar (IHPR) negara turut meningkat 12 peratus pada September 2026, berbanding 10.7 peratus bulan sebelumnya.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh melalui beberapa langkah utama, antaranya pelaksanaan subsidi bersasar bagi melindungi rakyat daripada kesan langsung kenaikan harga bahan api.
“Kerajaan meneruskan pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter serta BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bagi penerima yang layak.
“Mulai September lalu, kelayakan bulanan BUDI95 dinaikkan kepada 300 liter, manakala kelayakan BUDI Diesel bagi pengguna jip dan pikap ditingkatkan kepada 400 liter,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di portal Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan (GRS-Keningau) mengenai tindakan kerajaan menangani peningkatan inflasi dan kesan buruknya akibat kenaikan harga minyak dan barangan akibat konflik di Asia Barat.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan turut mengekalkan mekanisme subsidi dan kawalan bersesuaian, termasuk Sistem Kawalan Petroleum Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor mempunyai implikasi langsung kepada kos pengangkutan dan harga barangan.
Katanya, inisiatif itu bertujuan membantu mengurangkan tekanan kos ditanggung sektor pengangkutan dan logistik, selain ia penting bagi mengurangkan risiko kenaikan harga bahan api dunia diterjemahkan secara mendadak kepada harga barangan dan perkhidmatan dalam negara.
“Pengukuhan pemantauan dan kawalan harga serta bekalan barangan keperluan juga dilaksanakan dengan pemeriksaan harga pasaran berterusan dibuat melalui platform seperti PriceCatcher bagi mengenal pasti perubahan harga, terutama bagi barangan mempunyai kesan besar kepada kos sara hidup rakyat.
“Peruntukan bagi program Jualan RAHMAH MADANI dan Jualan Agro MADANI juga ditingkatkan kepada RM750 juta pada 2027, berbanding RM630 juta, dengan sasaran 35,000 penganjuran.
“Inisiatif ini merangkumi peluasan Jualan RAHMAH MADANI di kawasan desa, perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta Jualan Agro MADANI menawarkan hasil pertanian segar pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, pelaksanaan perlindungan kepada kumpulan rentan secara berterusan dengan bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM16 bilion.
Katanya, ini bagi membantu isi rumah memerlukan mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup, selain penggunaan SARA diperluas kepada pembelian barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah FAMA dan peluasan rangkaian kedai runcit kecil sebagai rakan niaga SARA.
“Pendekatan bantuan bersasar juga membolehkan sumber fiskal disalurkan kepada kumpulan paling memerlukan berbanding subsidi pukal yang turut memberi manfaat kepada golongan berpendapatan lebih tinggi.
“Pengukuhan daya tahan ekonomi negara terhadap kejutan luaran. Inisiatif ini antara lainnya termasuk memastikan keterjaminan bekalan makanan dan tenaga, memperkukuh rantaian bekalan domestik, meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran serta menggalakkan kepelbagaian sumber input dan pasaran.
“Langkah ini membolehkan kerajaan terus melindungi ekonomi negara daripada menerima kesan besar terhadap sebarang gangguan bekalan atau kenaikan harga komoditi global berpanjangan,” katanya. -BH Online
