Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Isu kelemahan tadbir urus atau pelanggaran undang-undang dalam Lembaga Tabung Haji (TH) perlu ditangani melalui proses sewajarnya berdasarkan bukti dan peruntukan perundangan sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana kerajaan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang serta kebebasan badan kehakiman.

“Justeru kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan berdasarkan fakta, keterangan dan peruntukan undang-undang berkuat kuasa.

“Dalam hubungan ini, kerajaan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip dalam mana-mana kes jenayah, proses dan pendakwaan hendaklah dilaksanakan secara bebas tanpa campur tangan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di portal Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai tindakan susulan terhadap individu atau pihak dikenal pasti mempunyai kelemahan tadbir urus berdasarkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Mengenai aspek pemulihan kerugian, Azalina berkata, TH sudah mengambil tindakan susulan bagi menangani pelaburan bermasalah dibangkitkan dalam laporan RCI, selain melantik beberapa firma perakaunan serta guaman.

Pelantikan itu katanya, bertujuan melaksanakan analisis jurang dan mengemukakan cadangan penambahbaikan dengan pelan pemulihan dan penstrukturan semula dilaksanakan sejak 2018 dalam menangani sebahagian besar kerugian dan kemerosotan nilai aset terdahulu.

Beliau berkata, hampir RM10 bilion daripada kira-kira RM12.6 bilion kerugian pelaburan sudah diselesaikan melalui pelan pemulihan 2018 manakala baki hampir RM2.6 bilion diatasi secara berperingkat hingga akhir 2025.

“TH sejak 2018, terus merekodkan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti pada setiap akhir tahun kewangan, selaras kehendak Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). Kadar agihan keuntungan juga menunjukkan peningkatan berperingkat.

“TH tahun lalu, mengisytiharkan agihan keuntungan 3.5 peratus, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun, selain LTH turut membina semula rizab bagi memperkukuh kedudukan kewangan masa hadapannya,” katanya.

Mengulas 25 syor RCI, Azalina berkata, 17 syor di bawah tanggungjawab pelaksanaan TH, manakala lapan lagi membabitkan tanggungjawab pelaksanaan pihak lain, termasuk Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) dan pihak berkuasa berkaitan.

Setakat ini katanya, TH sudah melaksanakan 76 peratus syor RCI, iaitu 13 daripada 17 syor di bawah tanggungjawabnya, merangkumi penambahbaikan dalam aspek tadbir urus, pelaporan kewangan, pengurusan pelaburan dan risiko serta proses membuat keputusan.

“Baki empat syor masih dalam tindakan TH pula membabitkan perkara berkaitan pindaan Akta 535, termasuk peraturan berkaitan seperti tatatertib dan lain-lain serta skop kawal selia Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti.

“Lapan lagi syor terletak di bawah tanggungjawab pihak lain. Sebahagian besarnya berkaitan pengukuhan struktur Sukuk UJSB dan terma tawarannya, penebusan awal, peruntukan kerajaan serta tindakan penguatkuasaan,” katanya.-BH Online