Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Projek pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis (SSP) yang terbengkalai selama 12 tahun, akhirnya bakal beroperasi sepenuhnya tahun depan, umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini, Perdana Menteri berkata pengoperasian institusi berkenaan menandakan penyelesaian kepada sebuah projek sukan penting yang tertangguh sekian lama demi kemajuan atlet muda negara.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Kementerian Pendidikan yang berjaya menyelesaikan masalah itu dalam tempoh dua tahun.

“Masih saya ingat tatkala ke Perlis pada April 2025, dan Menteri Besar ketika itu, Mohd Shukri Ramli, membangkitkan mengenai projek terbengkalai Sekolah Sukan Malaysia Perlis dan saya arahkan penyelesaian segera.

“Insya-Allah, tahun ini SSP siap dan boleh mula digunakan tahun depan.

“Terbengkalai selama 12 tahun, Alhamdulillah Kerajaan MADANI selesaikan dalam kurang dua tahun,” katanya yang juga Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tambun.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah memaklumkan projek SSP yang terbengkalai sekian lama dijangka siap pada Januari 2027 dengan kemajuan ketika itu sekitar 60 peratus.

Pada 27 April tahun lalu, Anwar mengarahkan projek yang terbengkalai sejak 2013 itu diserahkan kepada syarikat kerajaan berkeupayaan bagi memastikan pembinaannya dapat disiapkan secepat mungkin.

Projek SSP merangkumi pembangunan kompleks sekolah khusus dalam bidang sukan yang sepatutnya siap pada 2014 selepas dimulakan kerja pecah tanah dilakukan setahun sebelumnya.-BH Online