Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI meneruskan inisiatif memperkasa industri media tempatan menerusi pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0 dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata dana berkenaan bertujuan membantu syarikat media melaksanakan transformasi, memperkukuh operasi serta meneroka pendekatan baharu dalam penghasilan dan penyampaian kandungan.

“Kerajaan MADANI akan meneruskan inisiatif Dana Inovasi Media melalui pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0 dengan peruntukan RM30 juta.

“Inisiatif ini memperlihat komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan industri media terus diperkasa, khususnya dalam aspek inovasi, pendigitalan, pembangunan bakat dan penerapan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Fahmi berkata, inisiatif itu adalah kesinambungan Dana Inovasi Media yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA), tahun lalu.

Katanya, menerusi dana terdahulu, sebanyak 72 syarikat media menerima pembiayaan daripada peruntukan RM30 juta bagi pelbagai inisiatif termasuk transformasi, latihan dan pengukuhan operasi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Dana Inovasi Media 2.0 mengekalkan empat skop pembiayaan sedia ada dengan penambahan satu skop baharu, menjadikan keseluruhannya lima skop.

Katanya, permohonan dana berkenaan dibuka mulai hari ini dan syarikat media yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta borang permohonan menerusi laman web danainovasimedia.komunikasi.gov.my.

Maklumat mengenai tempoh permohonan dan tarikh tutup juga boleh dirujuk menerusi laman web berkenaan. -BH Online