Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan akan mempertimbangkan secara menyeluruh cadangan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk menetapkan kadar gaji minimum pada RM2,102 sebulan, berbanding RM1,500 ketika ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata secara dasarnya adalah jelas bahawa pendekatan kerajaan MADANI dalam menangani kos sara hidup adalah untuk memberi tumpuan kepada pendapatan rakyat.

“Cuma lihat secara menyeluruh, kita tahu dari segi kerangka kita ada gaji minimum, ini untuk sekumpulan pekerja. Kita juga akan memulakan projek rintis gaji progresif, gaji untuk kakitangan awam telahpun diumumkan oleh kerajaan.

“Berbanding dengan semua pentadbiran sebelum ini, pandangan saya dari segi tumpuan kepada gaji, pentadbiran sekarang adalah yang paling fokus kepada soal gaji.

null

“Tetapi ini perlu disusun dengan membabitkan semua pemegang taruh termasuklah dari segi pekerja, majikan, kemampuan kerajaan dan sama pentingnya ialah dari segi kemampuan ekonomi kita untuk menyerap sebarang keputusan yang berkaitan dengan gaji,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran program realiti Innovathon musim kedua di sini, hari ini.

Dalam laporan ‘The Living on the Edge Key Findings’, UNICEF baru-baru ini mencadangkan kerajaan untuk menetapkan kadar gaji minimum pada RM2,102 sebulan, berbanding RM1,500 ketika ini.

Laporan itu mendedahkan penetapan kadar gaji yang lebih adil itu adalah dengan mengambil kira faktor utama seperti kos sara hidup, pendapatan garis kemiskinan dan produktiviti.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, perbincangan mengenai gaji minimum mempunyai prosesnya kerana badan yang dipertanggungjawabkan untuk menilai mengenai kedudukan gaji minimum itu adalah Majlis Perundingan Gaji Negara.

“Prosesnya sedang berjalan dan bila sampai masanya Kementerian Sumber Manusia sudah tentu bertanggungjawab untuk membawa kepada pertimbangan kerajaan mengikut proses yang memang telah ada di dalam akta.

“Segala keputusan itu, akan dibuat oleh kerajaan pada masanya dan mengikut prosesnya,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel Rafizi berkata, perkara itu perlu menunggu pengumuman daripada kerajaan.

“Saya menyebut berkali-kali bahawa salah satu pertimbangan yang benar-benar perlu dikendalikan secara berhati-hati ialah penjujukan kerana ia adalah kunci untuk mengekalkan keseimbangan di antara pertumbuhan gaji, meletakkan wang dalam poket orang ramai dan inflasi.

“Itulah sebabnya kami menyimpannya (pengumuman mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi) dengan rapi. Agak jelas, banyak kerja, perbincangan, dan penyelarasan telah dilakukan.

“Keputusan muktamad mengenai penjujukan yang terbaik akan diputuskan oleh kabinet dan kami belum berada di peringkat itu lagi,” katanya.-BH Online