Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Konsortium diterajui Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang belum dimiliki oleh mereka pada harga tawaran RM11 sesaham.

Konsortium dikenali sebagai Gateway Development Alliance (GDA) itu terdiri daripada Khazanah menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd; KWSP; anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA); dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), salah satu pelabur infrastruktur terkemuka sedunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang.

Apabila tawaran itu selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus ketika ini kepada 40 peratus, manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus.

Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus saham MAHB, sementara ADIA dan GIP akan memiliki baki 30 peratus saham. 

Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khasnya dalam MAHB, manakala Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif akan terus dilantik dalam kalangan warga negara Malaysia.

Konsortium itu dalam satu kenyataan bersama berkata, ia berhasrat untuk menetapkan MAHB di landasan pertumbuhan jangka masa panjang yang mampan. 

“Dengan memfokuskan kepada penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambah baik keterhubungan syarikat penerbangan, ia akan menyokong pertumbuhan penumpang dan kargo udara. 

“Ini secara langsung akan memberikan manfaat ekonomi yang mampan bukan saja buat MAHB dan pihak berkepentingannya, tetapi juga bagi sektor-sektor perindustrian dan pelancongan di Malaysia dan Türkiye,” katanya.

Konsortium itu percaya bahawa cara terbaik untuk mencapai objektif itu adalah dengan menyahsenaraikan MAHB bagi menggalakkan pendekatan jangka masa panjang dalam sebarang keputusan serta pelaburan modal yang dibuat, di samping menerima manfaat daripada kepakaran teknikal antarabangsa. 

Konsortium itu percaya dengan potensi yang dimiliki MAHB dan komited untuk menyokong MAHB dalam pelaksanaan projek-projek modal keutamaan tinggi.

Ini termasuklah Aerotrain dan Sistem Pengurusan Bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), meningkatkan pengalaman penumpang dengan menangani kesesakan, menambah baik aliran penumpang dan suasana persekitaran terminal serta meluaskan tawaran kedai makanan, minuman dan peruncitan di lapangan terbang MAHB.

Konsortium itu juga komited untuk merancang pelaburan jangka masa panjang untuk meningkatkan kapasiti lapangan terbang di seluruh rangkaian lapangan terbang MAHB di Malaysia dan Türkiye dan bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri dan syarikat tempatan untuk membangunkan perniagaan sampingan di sekitar kawasan lapangan terbang.

“Konsortium yakin pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini akan menyokong usaha MAHB untuk menjadi pengendali lapangan terbang bertaraf dunia dan komited untuk bekerjasama dengan pengurusan MAHB dan kakitangan syarikat dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif berkenaan,” katanya.

Konsortium juga mengesahkan tidak ada sebarang rancangan untuk memberhentikan pekerja berikutan daripada tawaran itu dan hak sedia ada kakitangan MAHB akan terus dilindungi. 

Dalam masa sama, tiada perubahan akan dibuat ke atas kadar caj perkhidmatan penumpang yang diumumkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 12 Mac 2024.

Konsortium komited untuk terus menguruskan operasi lapangan terbang MAHB dan meningkatkan tahap perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen di Istanbul.

Tawaran rasmi ke atas MAHB adalah tertakluk kepada beberapa pra-syarat tertentu dan apabila dilaksanakan akan tertakluk kepada pemilikan sekurang-kurangnya 90 peratus modal saham diterbitkan MAHB oleh konsortium.

Kenyataan itu berkata, seandainya syarat dipenuhi, saham MAHB dijangka akan dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia apabila tawaran ini selesai, yang dijangka akan berlaku dalam suku keempat tahun ini.-BH Online