Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Isu sistem pengangkutan yang tidak teratur sehingga menyaksikan peminat Formula Satu (F1) berdepan kesukaran untuk keluar dari Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Taufiq turun sendiri ke SIC hari ini bersama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Rahimi Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif bagi meneliti beberapa aspek yang memerlukan penambahbaikan segera.

Antara perkara yang diberi perhatian adalah isu pengangkutan keluar masuk pengunjung yang berlaku semalam, selepas terdapat peminat mendakwa terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan bas perantara bagi meninggalkan kawasan litar.

Malah, ada peminat yang memilih untuk berjalan kaki dalam jarak jauh selepas tidak sanggup menunggu dalam kesesakan dan keadaan tidak teratur ketika ribuan pengunjung meninggalkan SIC pada sebelah petang.

Bagaimanapun, Taufiq berkata keadaan pengurusan pengangkutan dan pergerakan penonton hari ini dilihat lebih baik hasil tindakan segera semua pihak terbabit.

“Alhamdulillah, keadaan hari ini dilihat lebih baik dan teratur hasil penambahbaikan segera yang dilaksanakan oleh pihak Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Litar Antarabangsa Bahrain (BIC), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselesaan serta kelancaran pergerakan hampir 100,000 penonton yang hadir menyaksikan Grand Prix Gulf Air Bahrain.

“Moga segala penambahbaikan yang dilaksanakan dapat terus diperkasakan dan memastikan pengalaman yang lebih baik, selesa dan selamat kepada semua pengunjung yang hadir.

“Kita akan terus memantau keadaan di lapangan dan memastikan setiap isu yang timbul ditangani dengan segera demi kepentingan serta keselesaan para penonton,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya.

Sistem pengangkutan perantara digunakan sepanjang penganjuran acara itu susulan beberapa jalan ditutup dan sekatan dikenakan terhadap kenderaan awam di sekitar litar, manakala hanya kenderaan dengan pelekat khas dibenarkan meletakkan kenderaan di kawasan SIC.-BH Online