PUTRAJAYA: Teknologi dron penuaian sawit autonomi yang dibangunkan bersama syarikat teknologi tempatan mencapai kadar kejayaan 90 peratus dalam ujian terkawal, sekali gus membuka potensi penggunaan teknologi berkenaan bagi meningkatkan produktiviti sektor perladangan negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata inovasi berkenaan membuktikan keupayaan anak tempatan membangunkan teknologi bagi menyokong transformasi industri agrikomoditi.
Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), dron dan automasi mampu membantu sektor perladangan meramal hasil, menjimatkan penggunaan baja, memantau guna tanah serta mengurus rantaian bekalan dengan lebih cekap.
“Bagi kerja menuai pula, dron penuaian autonomi yang dibangunkan bersama syarikat teknologi tempatan mencapai kadar kejayaan 90 peratus dalam ujian terkawal.
“Ini inovasi anak tempatan yang wajar kita banggakan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada ESG Summit 2026 sempena Festival Idea Putrajaya 2026 di sini, hari ini.
Noraini berkata, manfaat penggunaan teknologi dalam sektor perladangan turut dapat dilihat menerusi Project Infinity oleh SD Guthrie yang kini menggunakan 444 mesin bagi melaksanakan kerja seperti pembajaan dan kawalan rumpai.
Katanya, penggunaan mesin berkenaan mengurangkan keperluan pekerja bagi kerja terbabit sebanyak 29 peratus, tanpa sebarang pemberhentian pekerja.
“Lebih penting, beliau berkata, seramai 503 anak tempatan dilatih sebagai pakar mesin menerusi inisiatif itu dengan purata gaji kira-kira RM3,500 sebulan.
“Ini bukti bahawa teknologi bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah membuka kerjaya yang berkemahiran dan bergaji baik kepada anak muda kita,” katanya.
Bagaimanapun, Noraini berkata, cabaran utama adalah memastikan manfaat penggunaan teknologi turut dinikmati pekebun kecil dan bukan hanya syarikat perladangan besar.
Justeru, penggunaan AI dan pendigitalan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan memastikan data pekebun kecil dilindungi, selain sistem dibangunkan secara telus serta tidak membebankan pengguna.
“Teknologi mesti memperkasa semua, bukan hanya mereka yang besar,” katanya. -BH Online
