KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula klausa perubahan harga (VOP) bagi menangani kenaikan kos diesel dan bitumen, adalah tertakluk kepada ketetapan rasmi Kementerian Kewangan (MoF) termasuk dari segi skop, kelayakan serta tatacara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memberi kerjasama sewajarnya dalam perkara berkaitan bidang tanggungjawab kementerian itu, bagi memastikan cabaran dihadapi pemain industri pembinaan dapat ditangani.
“Kerajaan bersetuju memperkenalkan semula klausa VOP, khusus bagi menangani kenaikan kos diesel dan bitumen, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Belanjawan 2027.
“Ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran yang dihadapi industri,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-7 Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), di sini, malam tadi.
Nanta berkata, beliau menyedari industri pembinaan ketika ini berdepan pelbagai cabaran, khususnya peningkatan kos bahan binaan, kos operasi serta tekanan aliran tunai.
Sehubungan itu, libat urus berterusan antara kerajaan dengan pemain industri amat penting bagi memastikan cabaran di lapangan dapat difahami dan ditangani sewajarnya.
Dalam pada itu, Nanta berkata, kerajaan terus memberi perhatian kepada usaha memperluaskan peluang penyertaan kontraktor bumiputera dalam pembangunan negara, termasuk melalui peningkatan nilai perolehan kerajaan yang dikhususkan kepada kontraktor Gred G1 hingga G4.
“Nilai perolehan itu meningkat kepada RM7.5 bilion bagi 2027 berbanding RM4 bilion tahun ini, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada kontraktor bumiputera untuk menyertai projek kerajaan,” katanya.
KKR turut menerima peruntukan RM10.882 bilion menerusi Belanjawan 2027, termasuk RM9.736 bilion bagi perbelanjaan pembangunan yang akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi, penyelenggaraan jalan Persekutuan, serta peningkatan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Beliau berkata, kementerian akan terus memperkukuhkan pemantauan pelaksanaan projek, termasuk mengambil langkah intervensi bagi menangani kelewatan projek.
Sementara itu Presiden PKBM, Datuk Seri Dr Azman Yusoff, berharap pengagihan projek kerajaan kepada kontraktor bumiputera, khususnya Gred G1 hingga G4, dilaksanakan secara telus, adil dan menyeluruh bagi memastikan peluang yang disediakan benar-benar dimanfaatkan kontraktor berkelayakan.
Beliau berkata, pengagihan projek menerusi kaedah kerja undi dan sebut harga perlu berlandaskan tatakelola perolehan kerajaan yang berkuat kuasa, bagi membantu kontraktor kecil membina rekod prestasi, mengukuhkan kedudukan kewangan serta mengembangkan kapasiti perniagaan.
Selain itu, beliau berharap syarikat konsesi baharu yang dilantik kerajaan diberi tanggungjawab jelas untuk memperkasakan penyertaan kontraktor bumiputera, khususnya melalui peluang kerja penyelenggaraan, kerja kecil dan kerja undi yang bersesuaian.
“Pembabitan kontraktor bumiputera dalam pelaksanaan projek berkenaan perlu bersifat berterusan dan mampu memberi impak ekonomi sebenar kepada pemain industri tempatan,” katanya.
Majlis malam tadi dihadiri kira-kira 350 tetamu terdiri daripada wakil kementerian, agensi kerajaan, pemain industri pembinaan, serta kontraktor bumiputera dari seluruh negara. -BH Online
