Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DESARU, JOHOR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keperluan mempercepat pelaksanaan projek pembangunan luar bandar dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu tanah, kelulusan teknikal dan kemudahan utiliti di peringkat awal.

Beliau berkata perkara itu antara fokus utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat MEXCLUB Ke-62 bersama EXCO-EXCO Luar Bandar yang berlangsung di Desaru, Johor.

Menurutnya, kesiapsiagaan tapak perlu dipastikan sebelum sesuatu projek memasuki peringkat tender bagi mengelakkan kelewatan ketika proses pembinaan dilaksanakan.

Antara cadangan yang sedang diperhalusi termasuk mewujudkan mekanisme fast lane bagi urusan pengambilan tanah untuk projek pembangunan luar bandar, selain memperkukuh penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menyelaras tindakan susulan bersama kerajaan negeri serta agensi berkaitan dengan menetapkan tanggungjawab dan tempoh pelaksanaan yang jelas.

Jelasnya, tumpuan utama adalah memastikan isu-isu di lapangan dapat diselesaikan segera supaya projek pembangunan sedia ada dapat disiapkan mengikut perancangan.

Usaha itu penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat terus dinikmati masyarakat desa serta meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar. -Media Perpaduan

#MEXCLUB62 #KKDW #PejuangDesa #DesaMalaysia