Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLANG: Kementerian Kesihatan (KKM) mahu memperkukuhkan kerjasama hospital dengan sebahagian besar klinik kesihatan (KK) di seluruh negara dalam usaha menangani pelbagai isu kesesakan, terutama membabitkan parkir kenderaan dan kekurangan katil pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kerjasama itu dilaksanakan secara berperingkat dengan memfokus klinik kesihatan berhampiran hospital yang menghadapi isu berkenaan.

“Kita ada 152 hospital dan ada 14 hospital yang besar, ini kebanyakan hospital negeri. Kita juga mempunyai 2,617 KK di seluruh negara, termasuk berhampiran kira-kira radius 10 kilometer dengan hospital besar.

“Kita mahu KK berperanan mengurangkan pesakit ke hospital, dengan mewujudkan satu kumpulan pegawai perubatan yang pakar di hospital berhampiran dihantar memberi rawatan kepada pesakit di KK,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, selepas ini kes biasa dan tidak kritikal boleh dirujuk kepada KK tanpa perlu ke hospital.

Pada masa sama, katanya, doktor pakar daripada klinik pakar hospital akan ke KK berkenaan.

“Sebelum ini, sesetengah ubat pesakit terpaksa ambil di hospital saja tetapi selepas ini, mereka hanya perlu ke KK dan ini mengurangkan beban mereka untuk ke hospital.

“Sekarang pun kita sudah mulakan di KK cuma pada masa depan, kita akan buat pemantauan bagi melihat keberkesanan pelaksanaan kolaborasi ini berkaitan waktu menunggu dan kesesakan kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly mencadangkan tempoh konsesi parkir HTAR dilanjutkan daripada 12 kepada 15 tahun bagi membolehkan kadar caj dikurangkan hingga separuh harga.

Katanya, cadangan itu bertujuan meringankan beban pesakit dan waris, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

Mengulas kekurangan parkir pula, beliau berkata, HTAR yang mempunyai 2,100 lot akan menyediakan tambahan 72 lot parkir mekanikal yang kini 90 peratus siap.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, KKM meluluskan peruntukan segera RM2.5 juta bagi memperkukuhkan keselamatan, kapasiti dan kelancaran aliran pesakit di HTAR.

Katanya, peruntukan yang akan disalurkan antara lain membabitkan projek fizikal berjumlah RM1.59 juta membabitkan naik taraf sistem pengurusan giliran atau QMS di Kompleks Rawatan Harian (ACC) bernilai RM750,000, sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi (RM350,000), dan auditorium serta bilik mesyuarat (RM485,000).

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, Hospital Kapar dijangka mula beroperasi sekitar Jun 2027 secara berperingkat bagi menyuraikan kesesakan di HTAR secara jangka panjang.

Beliau berkata, KKM memantau rapat kemajuan projek pembinaan Hospital Kapar dengan 17 bidang kepakaran, termasuk fasiliti khas penyakit berjangkit.

“Setakat 20 Oktober lalu, kemajuan fizikal projek berada pada tahap 96.26 peratus mengikut jadual. Setakat ini, tiada angka tepat tetapi Hospital Kapar dijangka boleh mengurangkan kesesakan HTAR sekitar 20 hingga 25 peratus, insya-Allah,” katanya. -BH Online