KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ruang kerjasama dan hak setiap negara untuk menentukan haluan pembangunannya perlu dipertahankan dalam berdepan persaingan kuasa besar yang kian sengit.
Perdana Menteri berkata, dalam masa sama keterbukaan mesti memberi ruang kepada ekonomi membangun untuk memperkukuh kemandirian, berinovasi dan menyertai industri bernilai tinggi, supaya manfaat pertumbuhan dapat dinikmati dengan lebih saksama.
“Saya juga menggesa supaya China dan negara Asia Tenggara memperluas kerjasama dalam kecerdasan buatan dan transformasi digital menerusi penyelidikan serta inovasi bersama.
“Kemajuan teknologi mesti terus berpaksikan etika, kebertanggungjawaban dan maruah insan.
“Berpandu pada Wawasan Putrajaya 2040, Malaysia akan terus menjalin hubungan konstruktif dengan semua rakan demi membina Asia Pasifik yang terbuka, berdaya tahan dan aman.
“Ukuran sebenar kemajuan ialah peluang yang terbuka dan perubahan yang dirasai dalam kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berucap ketika menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2026 dengan menggariskan gagasan keterbukaan ekonomi yang saksama untuk Asia Pasifik.
Perdana Menteri tiba di Shenzhen, China malam tadi untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-33. -BH Online
