KUALA LUMPUR: Sektor perikanan darat berpotensi menjadi sumber pendapatan lebih baik kepada nelayan susulan peningkatan permintaan terhadap ikan air tawar yang mempunyai nilai pasaran tinggi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata perubahan cita rasa pengguna menyebabkan ikan darat semakin mendapat tempat, khususnya spesies bernilai tinggi seperti ikan empurau.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut menyediakan peruntukan khusus bagi membantu golongan nelayan darat, termasuk pemberian elaun RM250 serta usaha melepaskan benih ikan ke perairan bagi meningkatkan sumber perikanan.
“Kita melihat nelayan darat berpotensi menjadi satu sumber pencarian yang lebih baik pada masa akan datang.
“Ini kerana dahulu, orang ramai tidak begitu berminat untuk makan ikan darat. Namun, sekarang ikan darat mempunyai nilai yang tinggi dan semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Zaliha meminta penjelasan mengenai perancangan kementerian untuk membantu golongan nelayan darat terjejas akibat banjir.
Sebelum ini, Dr Zaliha memaklumkan kira-kira 237 nelayan darat berdaftar di daerah Segamat terjejas dari segi aktiviti penangkapan ikan susulan pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, kawasan Sekijang dan Segamat terkenal dengan hasil sungai termasuk ikan ketutu yang mempunyai nilai pasaran tinggi, dengan harganya boleh mencecah antara RM75 hingga RM200 sekilogram.
Mengulas lanjut, Mohamad meminta Dr Zaliha mengemukakan surat kepada kementerian bagi membolehkan keperluan nelayan darat di kawasan Segamat yang terjejas akibat pelaksanaan projek pembangunan, khususnya RTB, diteliti secara terperinci.
Beliau berkata, kementerian bersedia meneliti keperluan berkenaan memandangkan golongan nelayan darat turut mempunyai peruntukan khusus yang boleh dimanfaatkan.
“Selain itu, kita juga sedang berusaha melaksanakan pelepasan benih ikan ke perairan dan turut memberikan elaun sebanyak RM250 kepada nelayan darat supaya mereka dapat terus menjalankan aktiviti berkenaan.
“Sebab itu, pandangan dibangkitkan daripada Yang Berhormat tadi akan diberikan perhatian khusus kerana saya tahu kawasan (Segamat) itu memang terkenal dengan ikan baung dan udang galah.
“Untuk makan ikan berkenaan, orang ramai perlu berkunjung ke kawasan Parlimen Yang Berhormat,” katanya. -BH Online
