Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tidak ada sebarang perbincangan pada peringkat kementerian atau Kabinet mengenai cadangan membuka Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada pelajar bukan Bumiputera. 

Penafian itu ditegaskan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang berkata isu berkenaan sengaja dimainkan pihak tertentu.

“Isu ini ternyata sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 (Akta Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang mana UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan

“Merujuk kepada isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera di UiTM, saya ingin memaklumkan sekali lagi dengan tegasnya bahawa isu ini tidak dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat KPT mahupun peringkat Kabinet.

“Seperti kenyataan saya pada 2 Mei yang lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera sepertimana yang telah dimainkan pada hari ini.” katanya.-BH Online