Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah kini jauh lebih baik dan meyakinkan selepas usaha hampir 13 tahun bagi memastikan kembali aman menerusi kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata insiden Lahad Datu pada 13 tahun lalu bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat sebaliknya menjejaskan sektor pelancongan di kawasan berkenaan.

Beliau sendiri mengadakan lawatan di Sabah bagi melihat kawasan ESCOMM dan membawa 14 duta asing untuk melihat sendiri keadaan keselamatan di Pantai Timur Sabah susulan insiden yang berlaku.

“ESSCOM membabitkan 10 daerah di kawasan Pantai Timur Sabah yang diklasifikasikan sebagai kawasan keselamatan, dengan menggabungkan tiga agensi utama bagi memastikan keadaan keselamatan kembali aman.

“Apabila kita berusaha selama hampir 13 tahun, keadaan sekarang jauh lebih baik dan lebih meyakinkan, tentunya kita perlu mengadakan program supaya negara-negara luar yakin dengan aspek keselamatan.

“Antara pendekatan yang dilaksanakan ialah membawa duta dan perwakilan asing melawat sendiri kawasan Pantai Timur Sabah selama tiga hari dua malam baru-baru ini bagi melihat keadaan keselamatan serta merasai sendiri pengalaman berada di kawasan berkenaan.

“Menerusi lawatan itu diharap dapat mendorong negara terbabit mengkaji semula nasihat perjalanan kepada rakyat mereka,” katanya ketika mengunjungi keluarga Allahyarham Lans Koperal, Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, yang meninggal dunia akibat renjatan elektrik di Sabah, Khamis lalu di Kampung Hutan Pasir, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, dalam tempoh tiga tahun ini sejak program dilakukan, Amerika Syarikat dan Jepun antara negara yang sudah mengubah atau meneliti semula nasihat perjalanan.

“Kita dapat lihat lonjakan besar, ketara daripada segi ketibaan pelancong. China antara negara penyumbang terbesar ketibaan pelancong ke Pantai Timur Sabah, diikuti negara Eropah terutama Jerman dan United Kingdom, selain Amerika Syarikat serta negara Asia Timur,” katanya.-BH Online