KUALA LUMPUR: Krisis perlembagaan dan pentadbiran di Negeri Sembilan akan diselesaikan secepat mungkin, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, berkata BN akan mengambil langkah bagi menjamin pentadbiran negeri itu dapat berjalan dengan lancar dan masalah rakyat dapat diselesaikan.
“(Isu Negeri Sembilan) akan diselesaikan dalam secepat mungkin yang boleh.
“Kita akan melakukan perkara yang asalkan masalah rakyat di Negeri Sembilan diselesaikan dan pentadbiran di negeri itu berjalan dengan lancar serta mengikut landasan Perlembagaan Negeri Sembilan,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Parti Progresif Penduduk (PPP) di Brickfields, hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang menarik balik surat dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad, sekali gus menyatakan sokongan kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ismail pada semalam mengesahkan penarikan surat itu.
Terdahulu, tular surat bertarikh 10 November 2026 yang menyatakan Ismail bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang dibatalkan pelantikannya menarik balik kandungan surat persembahan maklum kepada Raja-Raja Melayu bertarikh 17 September lalu.
Kandungan surat memaklumkan keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober 2026 dan Perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026 yang mengekalkan ‘status quo’ kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Keputusan berkenaan dibuat demi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan memelihara tertib pemerintahan beraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam suasana aman dan teratur. -BH Online

