KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin kesinambungan kemajuan Melaka dapat diteruskan dengan lebih banyak peluang dibuka kepada rakyat di negeri itu, susulan pelantikan semula Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri.
Sambil mengucapkan tahniah, beliau berkata, kepercayaan diberikan rakyat membawa tanggungjawab besar untuk meneruskan segala usaha pembangunan yang sudah dibina, selain memperkukuh kestabilan negeri.
Katanya, setiap pembangunan juga perlu dipastikan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Melaka.
“Insya-Allah, saya yakin dengan pengalaman dan kepimpinan yang dimiliki, kesinambungan kemajuan Melaka dapat diteruskan dan lebih banyak peluang dapat dibuka untuk rakyat di seluruh negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Pada masa sama, beliau turut mendoakan supaya Ab Rauf dikurniakan kebijaksanaan dan petunjuk dalam memikul amanah berkenaan serta terus memimpin Melaka ke arah masa depan lebih maju dan sejahtera.
Terdahulu, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka bagi penggal kedua di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
Ab Rauf berkata, mandat baharu diterima akan dimanfaatkan untuk memperkukuh ekonomi negeri, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, BN dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh kemenangan dengan menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.
Mengikut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN memenangi 21 kerusi, PN tiga kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh empat kerusi.
Ab Rauf turut berjaya mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara dengan majoriti 8,615 undi selepas memperoleh 10,079 undi, menewaskan calon PH, Mohd Yunazri Mustamiri, yang mendapat 1,464 undi. -BH Online
