PETALING JAYA: Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap kesan pembangunan pusat data terhadap alam sekitar dan masyarakat, khususnya daripada aspek keperluan bekalan tenaga serta air yang tinggi.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata perkara itu menjadi antara fokus kerajaan selaras penubuhan Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) dipengerusikan beliau bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Gobind berkata, DCTF turut membabitkan beberapa pihak berkaitan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan kerajaan negeri bagi penelitian proses permohonan untuk kelulusan pusat data berkenaan.
Katanya, ia juga membolehkan kerajaan mengenal pasti pusat data sedia ada dan yang bakal didirikan dalam negara, susulan ada banyak pelaburan baharu yang sedang dilaksanakan selain melihat keperluan bekalan tenaga dan air pada masa depan.
“Kita dalam proses untuk memastikan negara dapat membuat persediaan yang perlu dan juga kawalan rapi untuk memastikan apabila kita meluluskan pusat data data berkenaan, memang ada bekalan tenaga dan air mencukupi.
“Buat masa sekarang memang tidak ada masalah. Kita melihat ke depan, dalam jangka masa pendek dan juga panjang bagaimana kita dapat memastikan bekalan ini sentiasa selamat dan tidak terganggu,” katanya selepas merasmikan program EmpowerHER Digital 2026 di Damansara di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital Nasional Berhad (DNB) Datuk Azman Ismail.
Semalam media melaporkan, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah supaya pihak berkuasa, sektor swasta dan masyarakat menilai kesan pembangunan pusat data di negara ini, khususnya terhadap alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Baginda bertitah, penilaian itu perlu mengambil kira penggunaan elektrik dan air yang sangat tinggi, penyalahgunaan tanah serta kesan terhadap kehidupan masyarakat setempat.
Gobind berkata, beliau mengambil maklum titah Raja Permaisuri Agong dan perkara berkenaan akan dibawa kepada DCTF untuk perbincangan lanjut, kerana ia juga dalam perhatian Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Digital.
Sementara itu, mengenai program hari ini yang memberi tumpuan kepada wanita, Gobind berkata, beliau menyokong program seumpama itu yang dapat meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan teknologi dalam membantu meningkatkan taraf kehidupan dan memperkasakan perniagaan.
Katanya, penggunaannya juga membantu memudahkan urusan dengan kerajaan, justeru DNB bersama Kementerian Digital mengambil inisiatif menyampaikan maklumat berkenaan kepada masyarakat. -BH Online

