SEREMBAN: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberikan perhatian utama supaya Hospital Pasir Gudang (HPG) Johor dapat beroperasi 100 peratus berbanding tahap operasinya ketika ini iaitu hanya pada 85 peratus.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya kini giat melaksanakan pelan tindakan pengisian yang agresif untuk memastikan HPG mencapai pengoperasian penuh merangkumi 304 katil dan 16 dewan bersalin.
Katanya, penempatan jururawat dan pakar perubatan di hospital berkenaan buat masa ini adalah berdasarkan tahap operasinya.
“Sekarang ini tahap operasi (HPG), kalau tidak silap saya ialah 85 peratus. Perkara ini sudah saya jawab di Parlimen. Memang kita tidak dapat penuhi semua jawatan doktor dan juga pakar.
“Tetapi penempatan pakar dan doktor itu ketika ini mengizinkan kami untuk beroperasi 85 peratus. Banyak jabatan yang sudah mula beroperasi,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional 2026, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan operasi HPG memerlukan perhatian segera KKM memandangkan daripada keseluruhan 2,271 jawatan diperuntukkan, hanya 1,276 diisi setakat 6 November lalu.
Dalam pada itu, Dzulkefly menegaskan bahawa komitmen KKM terhadap keperluan kesihatan di Johor kekal utuh dan tidak pernah berbelah bahagi.
“Saya akan ke sana (HPG) dalam masa terdekat,” katanya.
HPG yang terletak di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang beroperasi secara berperingkat mulai 1 Ogos 2025 selepas diserahkan secara rasmi oleh Kementerian Kerja Raya kepada KKM pada 29 Jun 2025.
Pembinaan hospital berkenaan membabitkan kos RM375.5 juta bertujuan meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Pasir Gudang serta kawasan sekitarnya.
Ia juga bertujuan membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), masing-masing di Johor Bahru. -BH Online
