Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Wanita perlu mengambil bahagian secara aktif dalam menerajui peralihan tenaga negara dan bukannya kekal sekadar penerima manfaat, ketika Malaysia berusaha memanfaatkan potensi tenaga kerja wanita yang masih kurang digunakan bagi membangunkan ekonomi hijau yang inklusif.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata walaupun wanita terus mencatat kejayaan tinggi dalam pendidikan, cabaran struktur masih menghalang penyertaan penuh mereka dalam tenaga kerja.

“Pada 2025, kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia ialah 56.6 peratus berbanding 83.3 peratus bagi lelaki. Daripada 7.03 juta orang yang berada di luar tenaga buruh, 4.89 juta atau 69.5 peratus ialah wanita.

“Daripada jumlah itu, 42.8 peratus menyatakan kerja rumah dan tanggungjawab keluarga sebagai sebab utama mereka kekal di luar tenaga kerja. Angka ini menunjukkan bakat bukanlah masalahnya. Persoalannya ialah sama ada wanita mempunyai peluang, sokongan dan ruang untuk menggunakan bakat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penutupan Sidang Kemuncak Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (ISES) ke-7 2026 di sini hari ini.

Nancy berkata walaupun wanita merangkumi 15.7 peratus daripada graduan dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan di Malaysia, menurut Sistem Pangkalan Data Tenaga ASEAN, pencapaian akademik yang lebih tinggi masih belum secara automatik diterjemahkan kepada penyertaan ekonomi yang sama rata.

Beliau berkata adalah penting untuk menerapkan prinsip Kesaksamaan Gender, Ketidakupayaan dan Keterangkuman Sosial (GEDSI) dalam perancangan dasar, kepimpinan dan platform membuat keputusan merentasi semua sektor bagi memastikan peralihan tenaga yang adil.

“Peralihan tenaga bukan hanya berkaitan sistem, sasaran dan teknologi baharu. Pada akhirnya, ia adalah mengenai usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat kita, bagaimana mereka menjalani kehidupan, bekerja dan membina masa depan mereka.

“Aspirasi kita adalah supaya wanita tidak hanya dilihat sebagai penerima manfaat daripada peralihan tenaga, wanita juga mesti membantu membentuknya. Ini bermakna wanita perlu berada di meja rundingan apabila dasar dirangka, pelaburan diputuskan, teknologi dibangunkan dan industri diterajui,” katanya.

Bertemakan Memacu Tenaga Lestari Merentasi Sempadan, sidang kemuncak itu dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Acara selama dua hari itu menghimpunkan penggubal dasar tenaga serantau, pemimpin industri dan pakar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi membincangkan kerjasama tenaga rentas sempadan, pelaburan hijau dan penyelesaian praktikal untuk ASEAN mempercepatkan peralihan kepada sistem tenaga rendah karbon.– BERNAMA