Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PAKATAN Harapan (PH) Pahang akan memainkan peranan untuk menarik pengundi luar yang tinggal di ibu negara untuk pulang mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu bagi memastikan calon dari Barisan Nasional (BN) menang sekali gus meneruskan kelangsungan pembangunan dan kebajikan penduduk di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Sekarang ini tugas kita adalah memastikan pengundi terutama yang ada di KL (Lembah Klang) turun mengundi. Kita dapati ada lebih 2,000 pengundi di KL.

“Kita perlu bagitahu mereka keperluan mengundi untuk pastikan Pelangai ada representasi (wakil) yang baik terutama untuk meneruskan kelangsungan pembangunan, kemajuan dan pembelaan kepada rakyat Pelangai,” katanya dipetik Selangorkini.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian kepada media selepas merasmikan Ekspo Hartanah Selangor 2023 di Central i-City di Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, penerimaan pengundi di DUN berkenaan terhadap calon BN juga positif setakat ini terutama di kawasan Felda.

“Ada reaksi positif terutama pengundi di Felda. Lagipun tempat tersebut pengundi Melayu. Kerjasama (dan gerak kerja) jentera PH-BN (juga) berjalan dengan baik dan teratur,” katanya.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam (BN), Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).

PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, bulan lalu. -Media Perpaduan